Dr Che Muhammad Hafiz menasihati Lufya agar tidak melibatkan anak mereka, Laana Haura dalam kemelut rumah tangga yang hadapi ketika ini.

Malah Dr Hafiz turut tidak mahu memberikan kenyataan berkaitan konflik yang berlaku kerana ia secara langsungboleh mengganggu prosedur yang dilakukan pihak mahkamah.

“Berkenaan dengan kes mahkamah, saya tidak mahu memberi kenyataan kerana tidak mahu menggangu prosedur dan saya serahkan kepada Mahkamah dalam menimbangtara kes kami,” katanya.

“Berhubung kenyataan peguamnya mengenai lafaz cerai yang telah dibuat, saya sebagai orang awam telah dinasihati menurut hukum syarak dan undang-undang mengenai situasi sebenar yang berlaku.

“Namun adalah lebih pelik apabila Lufya melalui peguam beliau memfailkan tuntutan penceraian dan bukan pengesahan lafaz yang dibuat jika benar saya lafazkan cerai kepadanya.

“Adakah Lufya menyembunyikan maklumat sehingga mengelirukan tindakan yang diambil oleh peguamnya,” jelasnya lagi.

Terkesan dengan pelbagai kata-kata serta persepsi sesetengah pihak, Dr Hafiz juga meminta Lufya agar berhenti dari membuat kenyataan kepada pihak media.

Dr Hafiz sebaliknya menjelaskan, andai apa yang diperkatakan itu benar, boleh buktikan di mahkamah.

“Saya juga ingin menasihati Lufya supaya hentikan daripada membuat kenyataan media memburuk-burukkan dan memfitnah saya.

“Sebaliknya buktikan di Mahkamah jika benar, jangan sekadar baling batu sembunyi tangan.

“Berkenaan isu saya tidak hiraukan anak dan setelah beberapa bulan baru dapat jumpa anak adalah fitnah dan beliau serta keluarga sendiri tahu apa yang berlaku bila saya ingin berjumpa dengan anak di rumahnya.

“Sebelum keluar mahkamah semalam, saya memang berjumpa dan meluangkan masa dengan anak disaksikan oleh beliau dan ahli keluarga beliau sendiri malah anak amat rapat dengan saya.

“Hanya setelah anak tersebut pergi kepada Lufya baru saya keluar mahkamah tetapi tidak perasan yang anak mengikuti saya dari belakang.

“Jika benar saya mendengar suara anak saya, takkan sebagai bapa saya sanggup buat tidak endah, dan setelah saya tidak perasan anak,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Hafiz meminta Lufya agar jangan pisahkan haknya sebagai bapa untuk bersama anak tunggal mereka.

“Cuma nasihat saya kepada Lufya apa pun masalah antara kami jangan dipisahkan hak saya untuk bersama dengan anak kerana dia juga anak kandung saya, serta jangan wujudkan kesulitan dan/atau kesusahan kerana anak tidak bersalah dan berhak untuk mendapat kasih sayang ibu dan bapa.

“Anak juga adalah keutamaan saya dan amanah yang diberikan untuk saya didik, lindung dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” akhiri Dr Hafiz.

Dr Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Lufya yang juga seorang penyanyi dan pelakon pada  26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura yang kini hampir memasuki usia dua tahun.

Foto: Instagram Dr Hafiz, Lufya