
Pelakon terkenal Korea Selatan, Jung Ga Eun, telah membuat keputusan berani untuk beralih kerjaya sebagai pemandu teksi selepas mengalami kesukaran kewangan yang serius selepas bekas suaminya melakukan penipuan yang melibatkan namanya.
Dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, Wonder Ka Eun, Jung Ga Eun kelihatan sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan lesen teksi.
Beliau turut bertemu dengan YouTuber terkenal, Park Rae Ho, yang memberi semangat kepadanya. Walaupun dinasihati agar tidak mengejar skor sempurna, Jung Ga Eun menunjukkan azam tinggi dengan mensasarkan markah melebihi 90.
Menurut Jung Ga Eun, langkah ini diambil bukan sahaja untuk mencari pendapatan yang lebih stabil, tetapi juga sebagai penghormatan kepada bapanya yang telah menjadi pemandu teksi persendirian selama lebih 30 tahun.
“Ayah saya baru sahaja menjalani pembedahan kanser esofagus dan keadaannya kurang sihat. Saya ingin menjemput beliau sebagai penumpang pertama saya selepas lulus peperiksaan lesen,” katanya.
Jung Ga Eun turut menjelaskan melalui kajian dan pengalaman bahawa pemandu teksi boleh memperoleh pendapatan sehingga 10 juta KRW (RM30,822.43) sebulan, satu jumlah yang cukup baik berbanding gaji yang ditawarkan syarikat besar pada masa kini.
Beliau memulakan karier sebagai model pada 1997 dan kemudian menceburi bidang hiburan selepas menjadi naib juara Miss Korea Gyeongnam pada 2001. Pada 2016, beliau berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan, tetapi mengumumkan penceraian pada 2018.
Difahamkan, bekas suaminya terlibat dalam lebih 600 kes penipuan menggunakan namanya dan dipercayai menyebabkan kerugian berjumlah 13.2 bilion KRW (sekitar RM44 juta). Selepas penceraian, bekas suaminya gagal membayar nafkah dan kini dipercayai berada di luar negara.
Dalam satu temu bual sebelum ini, Jung Ga Eun mengakui mengalami tekanan emosi yang berat akibat masalah kewangan dan kehidupan selepas perceraian.
“Selepas tamat penggambaran filem, saya tidak mendapat tawaran kerja lagi. Melihat baki akaun bank, saya rasa hilang arah. Namun kini saya bertekad untuk terus hidup mengikut kemampuan sendiri dan membesarkan anak saya dengan tabah,” katanya.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI