Bagi mengukuhkan lagi nama mereka di Indonesia, kumpulan Floor88 kini sudah bersedia bekerjasama dengan penyanyi baharu tular dari seberang, Raffa Affar.
Sudah pun mempunyai perancangan bersama, Floor88 akui mereka bakal melaksanakan proses rakaman lagu itu dalam masa terdekat.
Menurut vokalisnya, Ayie, Floor88 berjaya menembusi pasaran muzik di negara seberang selepas lagu hit mereka, Hutang mendapat perhatian peminat di sana.
“Peminat dari Indonesia sudah mula menyukai muzik kami dan kami dah ada beberapa penganjur yang mahu mengadakan persembahan Floor88 di sana, cumanya kalau kami pergi dengan membawa lagu Hutang sahaja, takut krik-krik bila kami persembahkan lagu lain.
“Jadi sekarang kami ada perancangan dalam proses menyiapkan sebuah lagu duet bersama Raffa Afar.
Ads
“Bila kami keluarkan lagu tu nanti, diharap ia dapat mengukuhkan lagi nama kami di sana,” kata Ayie kepada MH.
Ayie ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelima Floor88 yang diadakan di Pejabat Rusa Music, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Ads
Pada majlis sama, mereka turut melancarkan single terbaharu berjudul Sahabat yang membawa pengertian cukup mendalam buat kesemua enam ahli Floor88.
Selain Ayie, kumpulan itu turut dianggotai Achoi (pemain gitar), Amir (pemain gitar), Falique (pemain bass), Eric Fuzi (pemain keyboard) dan Akram (pemain dram).
Sementara itu, Floor88 menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa Raffa sebagai perosak lagu seperti mana yang menjadi tular baru-baru ini.
Ads
“Bagi kami Raffa bukan perosak lagu. Dia memiliki gaya nyanyian tersendiri.
“Kami memilih berduet dengan Raffa untuk single baharu nanti kerana yakin dengan bakat dan kemampuan nyanyiannya,” kata Ayie lagi.
Untuk rekod, Raffa sebelum ini menerima kecaman hebat netizen apabila dikatakan merosakkan lagu popular era 90-an iaitu Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian kumpulan Exists serta lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris menerusi lagu cover yang dibawakannya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Di zaman serba canggih kini, tidak dinafikan setiap daripada kita pastinya mempunyai satu akaun media sosial di mana-mana platform seperti Instagram, Facebook atau TikTok.
Golongan selebriti juga antara yang bijak memanfaatkan akaun media sosial masing-masing untuk memasarkan diri mereka dalam bidang yang diceburi.
Selain selebriti, anak-anak mereka juga tidak ketinggalan terkena tempias populariti ibu atau bapa masing-masing.
Sebagai contoh, kedua-dua anak perempuan pelakon Que Haidar antara yang sering menjadi perhatian netizen disebabkan kejelitaan rupa paras mereka yang mewarisi kecantikan isteri aktor tersebut iaitu pakar tarian dan koreografi, Linda Jasmine.
Menerusi temubual yang diadakan program MeleTOP baru-baru ini, Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 43, berkata buat masa ini dia masih belum ‘membenarkan’ kedua-dua anaknya, Tengku Ratu dan Tengku Cleopatra untuk memiliki akaun media sosial sendiri.
Ini kerana menurut pelakon filem Rock Oo! itu, dia lebih mengenali anak-anaknya yang mungkin tidak akan tahan dengan komen-komen negatif yang sering ditinggalkan sebahagian netizen seperti mana yang berlaku terhadap golongan selebriti mahupun anak-anak mereka sebelum ini.
“Sebagai bapa, saya rasa saya lagi kenal anak-anak saya. Mereka (anak-anak), hati mereka lembut.
“Kan kita ada segelintir netizen yang tulis tidak elok. (Saya risau akan) kacau dia orang punya feeling. Saya rasa mereka tak bersedia lagi untuk handle benda-benda macam ini,” katanya.
Sekadar info, Que mendirikan rumah tangga dengan Linda pada 14 Februari 2009 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu, 13, dan Tengku Cleopatra, 10.
Linda juga mempunyai seorang anak lelaki, Qalif Khan, 22, hasil perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Que Haidar
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi terkenal Zamani mengakui tahap kesihatannya kini berada dalam keadaan teruk susulan masalah skoliosis iaitu tulang belakang melengkung yang dihadapi
Zamani, 51, yang juga vokalis kumpulan Slam berkata, buat masa sekarang dia perlu mengambil ubat tahan sakit sementara menunggu proses pembedahan yang dijangka dibuat pada awal November.
“Tulang belakang dah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung. Jadi saya perlukan pembedahan. Sekarang ini 24 jam saya sakit dan perlu makan ubat tahan sakit. Memang tak ada ubat lain.
“Sakit pula menyerang tak kira waktu. Kalau kena tu, tulang rasa macam ditarik-tarik. Kadang ketika tidur pun sakit boleh datang dan menjadi kejang.
“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sakit saya ini menyerang dengan teruk. Sebab ketika itu saya duduk di rumah saja dan tak bekerja,” katanya.
Zamani menambah, peluang untuk sembuh adalah positif selepas dia melakukan semua ujian imbasan.
“Dulu saya dimaklumkan peluang untuk sembuh tak ada. Rupanya informasi itu tak tepat. Selepas saya buat semua ujian imbasan, doktor maklumkan peluang nak sembuh tinggi. Namun, tidaklah boleh kembali kepada normal.
“Sekarang ini sudah ada dua pusat perubatan dalam senarai untuk saya buat pembedahan. Dokto kata Oktober ini dah boleh buat, cuma saya ada beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan dulu. Jadi, insya-Allah mungkin awal November.
“Dari segi kos pembedahan dianggarkan lebih RM100,000. Pusat perubatan di Ampang anggaran dalam RM80,000 hingga RM100,000. Yang lagi satu tu mungkin murah sikit,” katanya lagi.
Zamani ditemui pada sidang media Rhythm of Legends Live in Concert yang bakal berlangsung di Dewan Plenarry KLCC pada 29 dan 30 Oktober depan.
Selain Zamani, Rhythm of Legends Live in Concert anjuran CS Excellent dengan kerjasama Drug Free Malaysia (DFM) turut menampilkan penyanyi lain seperti Datuk Hattan, Asmidar, Rojer Kajol, One Nation Emcees dan Mawi.
Sementara itu, Zamani berkata prosedur berkenaan dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam.
“Saya bukan takut nak dibedah, tapi berdebar. Kalau nak tahu pembedahan adalah pilihan terakhir saya. Sebelum ini saya dah pergi banyak tempat dan rawatan alternatif lain.
“Difahamkan pembedahan ini memakan masa lapan hingga 10 jam. Nak sembuh pula ia bergantung pada badan saya. Kalau semuanya okay, selepas dua minggu dah boleh memandu selain perlu menjalani fisioterapi.
“Saya berharap pembedahan ini berjalan lancar dan sembuh walaupun takkan 100 peratus,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Usahawan yang popular namanya di corong radio, Najib Asaddok pernah digelar ‘bisnes air liur’. Bunyinya mungkin agak sinis, namun itulah realitinya apabila dia akhirnya berjaya membina empayar perniagaan dengan memberi perkhidmatan latihan secara dalam talian kepada golongan peniaga.
Najib, 39, atau nama sebenarnya Mohd Najib Asaddok baru-baru ini yang sedang membuat sesi ‘live’ dihujani dengan pertanyaan seorang pengguna laman sosial yang bertanyakan soalan berunsur provokasi iaitu; ‘apa bisnes Najib yang sudah berjaya sehingga dia layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran?’
Lalu, sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial lainnya yang mempertikai kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’ semata-mata.
Najib yang juga pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 tak mahu ambil pusing segala komen yang dilontarkan.
“Ketika buat sesi siaran langsung itu, saya sedang membincangkan topik agak serius berkaitan isu peniaga yang mengalami kejatuhan dalam jualan. Tapi, apabila terdapat komen dan soalan sama berulang kali, ia lebih kepada provokasi dan berniat nak menjatuhkan kredibiliti.
“Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan. Dalam masa sama, ramai lagi memberikan komen positif dan sokongan yang mana mereka berkongsi kisah kejayaan dalam perniagaan selepas mengikuti kelas saya.
“Bagi saya, ini lebih menggembirakan serta memberi semangat pada saya,” kata Najib yang sebenarnya mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah.
Dia pada awalnya ingin mengubah nasib diri dan kehidupan keluarga.
“Pada usia 11 tahun ayah saya meninggal dunia. Ketika itu mak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah, sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.
“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di sebuah universiti awam tempatan.
“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka ‘booth’, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan. Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga.
“Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya (2018).
Malah, Najib kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).
Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009. Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.
“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes ‘coaching’ atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara ‘offline’. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.
“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.
Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan ‘offline’ yang dibuat secara percuma.
Baru-baru ini juga, syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.
Najib juga dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelikan sebuah rumah buat mak dan ibu bapa mertua. Pada 2019, saya hantar mak menunaikan haji. Baru-baru ini pula, saya membawa membawa isteri dan kedua mentua menunaikan haji. Rezeki nak tolong keluarga, Allah permudahkan semuanya,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan komposer, Zubir Khan kini sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Dr. Heama Maleini selepas selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam majlis...