
Nama aktres ternama Bollywood, Deepika Padukone sekali lagi mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai pelakon wanita India pertama yang bakal menerima penghormatan sebutir bintang di laluan berprestij dunia, Hollywood Walk of Fame.
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Kamar Perdagangan Hollywood menerusi satu siaran langsung global pada Rabu lalu, sebagai sebahagian daripada senarai penerima bagi Kelas 2026, melibatkan 35 tokoh berpengaruh dalam bidang hiburan antarabangsa.
Kejayaan tersebut disambut dengan penuh bangga oleh suaminya, Ranveer Singh, yang turut berkongsi ucapan tahniah menerusi Instagram Story.
Pasangan selebriti popular India itu telah mendirikan rumah tangga pada November 2018 dan menyambut kelahiran anak perempuan pertama mereka pada September 2024.

Antara nama-nama besar lain yang turut tersenarai termasuklah pelakon Hollywood seperti Emily Blunt, Rachel McAdams dan Demi Moore serta cef selebriti tersohor, Gordon Ramsay.
Deepika, 39, merupakan antara pelakon India paling berpengaruh dengan pencapaian di peringkat antarabangsa. Namanya melonjak naik selepas membintangi filem Om Shanti Om bersama Shah Rukh Khan pada tahun 2007.
Beliau seterusnya mengembangkan karier ke Hollywood menerusi filem aksi xXx: Return Of Xander Cage bergandingan dengan Vin Diesel pada 2017.
Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon Filipina, Lea Salonga yang dikenali sebagai suara nyanyian kepada watak Mulan dan Puteri Jasmine dalam filem animasi Disney turut menerima bintang dalam kategori Teater dan Persembahan Langsung.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI