“Bukannya Takut, Tetapi Tak Mahu Instagram Dipenuhi Dengan ‘Sampah’ Dan…,” – Respon Izreen Azminda Tutup Komen Di IG

Susulan tindakan penyanyi dan pelakon, Linda Rafar yang mengambil pendirian untuk menfailakn saman terhadap lebih 100 pengguna media sosial yang menulis komen secara melampau tanpa usul periksa berkenaan dengan kes melibatkan dirinya baru-baru ini, beberapa selebriti tampil memberikan pandangan terhadap apa yang berlaku.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon Izreen Azminda misalnya bersetuju dengan tindakan yang dibuat Linda memandangkan apa yang berlaku memberi kesan seterusnya dapat memberikan pengajaran kepada individu lain.

Pelakon, Izreen Azminda, 34, yang teruk dikecam gara-gara berkahwin dengan suami orang pada 2017 mengakui mengalami tekanan hingga mengambil keputusan menutup ruangan komen di Instagram.

Malahh, Izreen berkata ia wajar dilakukan kerana ia turut melibatkan soal keselamatan diri.

“Saya sokong tindakan berani Linda. Ia bagus supaya memberi pengajaran kepada netizen. Saya pula malas nak ambil pusing walaupun komen mereka menjatuhkan maruah saya dan keluarga.

IKLAN

“Ada yang komen hingga mengugut arwah ibu Linda. Jadi, memang wajar dia ambil tindakan undang-undang. Biar mereka sedar yang mana jangan sesuka hati nak pijak kepala artis,” katanya seperti yang dipetik.

Terdahulu, pelakon yang juga isteri kepada pemuzik bebas, Ude Wahid ini pernah berdepan dengan kecaman netizen berhubung kisah peribadi mereka yang menimbulkan kontroversi.

Bagaimanapun, Izreen menjelaskan pada peringkat awal, memang tertekan sebab itu merupakan pengalaman pertama  dan selama ini tidak pernah pun dikecam serta dihentam sedemikian rupa.

“Memang emosi terganggu sebab komen mereka sangat keterlaluan. Cuba mereka duduk di tempat saya atau artis lain yang dikecam, apa mereka rasa?

IKLAN

“Disebabkan itu, saya ambil keputusan tutup ruangan komen dan ia sangat berbaloi. Sudah masuk tahun kedua saya tutup. Memang lega dan tenang saja. Tak perlu lagi saya hadap dengan komen jahat dan caci-maki mereka.

“Saya bukannya takut, tetapi tak mahu Instagram dipenuhi dengan ‘sampah’ dan komen negatif. Kalau mahu apa-apa, boleh DM (direct message) saja. Ramai yang berbuat sedemikian dan saya akan balas,” tambah Izreen.

Dalam perkembangan lain, Izreen yang kini sedang sarat hamil tiga bulan kini memberi sepenuh perhatian terhadap proses kehamilan.