Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berusaha untuk membantu dalam proses pengurusan pengebumian jenazah pelakon, Benjy yang meninggal dunia di Medan, Indonesia, kira-kira jam 11 pagi Ahad.

Menerusi satu kenyataan kepada media, Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, yang dilaporkan meninggal di Hospital Royal Prima Medan, Indonesia akibat sesak nafas kerana penyakit asma akan dikebumikan hari ini (Isnin).

“Seniman sedang berhubung rapat dengan pihak Konsulat General Malaysia di Medan Indonesia dan pihak Penjara Tanjung Gusta, Medan untuk pengurusan jenazah arwah Benjy.

“Maklumat yang kami terima setakat ini, jenazah sudah pun menjalani pelbagai prosedur di hospital dan disahkan tiada jangkitan Covid-19. Jenazah sudah dibawa ke Rumah Sakit Bhyangkara Brimob.

“Segala urusan jenazah akan dilakukan di situ sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Tanjung Gusta, Medan, Indonesia sebelum Zohor waktu tempatan, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan tersebut.

IKLAN

Menurutnya, Seniman juga berhubung rapat dengan pihak keluarga Allahyarham dan mereka bersetuju jenazah Benjy dikebumikan di Medan Indonesia disebabkan arwah ada mewasiatkan  supaya jenazahnya disemadikan di sana jika terjadi apa-apa.

“Pengurusan jenazah arwah Benjy akan diuruskan oleh pihak Konsulat General Malaysia dan pihak Penjara Tanjung Gusta dengan segala kos akan ditanggung oleh pihak waris. 

IKLAN

“Seniman akan cuba bantu mana-mana bahagian selagi kami mampu untuk memudahkan urusan pengebumian arwah Benjy di Medan,” katanya. 

Terdahulu, Benjy ditahan pihak Kastam dan Eksais sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, Indonesia pada 18 April 2017.

IKLAN

Pada tahun yang sama, Benjy didapati bersalah kerana memiliki 4.5 gram dadah jenis syabu dan dikenakan hukuman penjara 11 tahun 8 bulan oleh mahkamah.

Seniman yang diwakili Presiden dan Setiausaha Agung juga sebelum ini pernah melawat Allahyarham di Penjara Tanjung Gusta Medan pada 15 Disember 2018 buat kali pertamanya rakyat Malaysia dan artis Malaysia datang melawat beliau ketika itu setelah hampir 2 tahun menjalani hukuman penjara.

Pada April 2019 sekali lagi Seniman diwakili oleh Setiausaha Agung melawat Benjy dan menyampaikan sumbangan hasil daripada kutipan derma daripda Tabung Prihatin Seniman, pada ketika itu Seniman juga menyampaikan keperluan Hari Raya kepada beliau selain wang tunai.

Seniman menerusi kenyataan sama turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah, al-Fatihah.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI