
Meskipun ada yang seolah-olah meragui kemampuan Anggrek pada peringkat awal, penyanyi Adira Suhaimi akhirnya membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang buat seseorang anak seni untuk menyerlahkan bakat di pentas besar.
Menurut Adira, sebelum membuat keputusan untuk membawa Anggrek menyertai program Talk To My Manager Musim Ke-2 (TTMM2), dia terlebih dahulu menilai pelbagai aspek bagi memastikan anaknya itu mampu bersaing dengan peserta lain.

“Umur hanyalah sekadar angka. Seperti kita tahu, TTMM2 ini bukan hanya sekadar menilai vokal. Aspek persembahan dan tugas pengurus juga turut dinilai dalam pemarkahan.
“Aspek-aspek inilah yang membuatkan saya bersetuju untuk membawa Anggrek sertai program ini. Jika hanya menilai vokal, saya tidak akan benarkan Anggrek masuk ke rancangan ini.
“Pada awalnya, ramai yang mempersoalkan Anggrek ini terlalu muda. Tujuan saya untuk bawa dia ke program ini adalah untuk belajar dan beri pendedahan.
“Saya tak pernah terfikir akan menang. Terima kasih kepada semua pihak yang berikan komen sebelum ini. Saya ambil itu sebagai satu semangat untuk saya dan Anggrek berkarya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Orang Yang Sama itu berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Grand Finale TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Adira menyifatkan kebolehan luar biasa yang dimiliki Anggrek sebagai satu anugerah dan pinjaman daripada Allah SWT.

“Sejujurnya saya tak sangka Anggrek mampu buat persembahan sehebat ini sepanjang di TTMM2. Saya anggap ini semua pinjaman daripada Allah.
“Di usia muda ini, dia boleh membawakan pelbagai genre. Anggrek juga mampu buat persembahan di atas pentas, hafal lirik, menari dan buat memek muka pada masa yang sama.
“Saya pun tak mampu nak buat sebegitu walaupun sudah 16 tahun bergelar anak seni. Anugerah yang dipinjamkan ini sangat luar biasa.
“Dia juga anak yang sangat taat. Ada masa dia ragui juga kemampuannya. Namun, saya akan berikan semangat. Kita sudah berlatih dari Isnin hingga Jumaat, lepas usaha, kita tawakkal,” ujarnya lagi.
Adira Takut Dengan Pujian Berlebihan
Mengulas mengenai populariti yang dikecap Anggrek pada usia muda, Adira menegaskan dia akan sentiasa memantau serta mengawal setiap pergerakan dan tindak-tanduk anaknya itu.

“Anggrek ini masih kecil. Sebagai ibu, saya masih boleh menguruskan serta mengawal setiap perkara. Alhamdulillah, ramai yang sudah mengenali Anggrek sekarang. Hal itu kita tak dapat nak elak.
“Sebagai ibu, saya takut juga dengan pujian yang berlebihan. Insya-Allah saya akan kawal selagi mampu,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Adira turut berpendapat laluan sebagai anak seni bukanlah sesuatu yang mudah meskipun seseorang itu menjadi idola kepada rakan seusia.
Bagaimanapun, jika seseorang itu memiliki minat yang mendalam serta tekad yang kuat, impian tersebut mampu direalisasikan.
Anda mungkin berminat dengan

“Pada saya, mereka kena belajar dahulu. Jika ada peluang dan rezeki, apa salahnya. Jika benar-benar nak masuk ke industri ini di usia muda, kena sediakan mental dan fizikal.
“Pastikan anak-anak itu betul-betul minat. Barulah segalanya boleh direalisasikan,” akhirinya.
Terdahulu, Adira dan Anggrek mencipta sensasi apabila dinobatkan sebagai juara TTMM2.

Pasangan ibu dan anak itu berjaya mengetepikan cabaran daripada empat finalis lain sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, peruntukan pengurusan dan pemasaran bernilai RM50,000 serta kontrak rakaman single baharu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

