
Pelakon dan pelawak, Along Cham mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi menyeleweng dana yang dikumpulkan bagi tujuan membantunya sepanjang tempoh dia ditahan.
Along turut mempersoalkan ke mana dana berjumlah hampir RM100,000 yang dikutip, termasuk sumbangan orang awam termasuk rakan selebriti.
Malah Along mendakwa, anaknya, Ahmad Daniel juga diurus dan dijaga oleh pelakon dan pengacara, Didie Alias dan ibunya.
“Dana yang dikatakan untuk kegunaan saya, jujur itu tidak ada. Dana itu tidak sampai kepada saya. Duit digunakan untuk ikat jamin saya adalah daripada ibu, keluarga dan Didie.
“Saya juga pelik, ada dalam kalangan selebriti yang beri sumbangan tapi dana itu tidak sampai ke tangan saya. Dia (Afreena) cakap konon duit daripada dana itu untuk pembiayaan anak saya.
“Tapi sepanjang saya ditahan, anak saya diuruskan oleh Didie dan ibu saya. Dianggarkan lebih RM100,000 dana yang terkumpul,” katanya kepada MH.
Along berkata sedemikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya pada Selasa.
Pada masa sama, Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad mendakwa pelakon Aaron Aziz turut menjadi mangsa.
“Terbaharu, saya mendapat panggilan daripada abang saya, Aaron yang kini berada di Uzbekistan. Dia ada memberikan kata-kata semangat.
“Paling mengejutkan saya, apabila Aaron memaklumkan semalam, isteri saya ada meminta wang RM20,000 tapi Aaron hanya memberikan RM5,000 kononnya untuk membayar ikat jamin saya.
“Sedangkan wang ikat jamin itu sudah diselesaikan oleh ibu saya dan Didie. Saya sudah maklumkan kepada Aaron untuk dapatkan kembali wang itu,” katanya.
Dalam pada itu, Along memohon maaf bagi pihak isteri, sekiranya dia ada mempergunakan namanya untuk tujuan tertentu.
“Bagi pihak isteri, saya memohon maaf kerana dia menggunakan nama saya. Saya pun tak faham apa motif isteri saya,” katanya.
Ibu Buat Laporan Polis
Sementara itu, Along berkata, ibunya, Siti Habsah Kadir sudah membuat laporan polis berhubung penyelewengan dana itu.
Pagi tadi, Along hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya proses memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap Afreena.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI