
Gadis cantik dari Klang, Selangor, Alicia Wong Lingling, 20, melakar sejarah apabila diumumkan sebagai ketua kumpulan dan vokalis utama kumpulan K-pop baharu, KIIRAS, sekali gus menjadi idola K-pop wanita pertama dari Malaysia.
Lingling, yang memulakan kerjaya sebagai pelatih di bawah syarikat hiburan terkemuka Korea Selatan, YG Entertainment, serta WakeOne, sebelum ini pernah menyertai program realiti I-LAND 2 pada tahun 2024.
Meskipun tidak berjaya menempatkan diri dalam barisan akhir kumpulan tersebut, bakat serta ketekunannya berjaya menarik perhatian syarikat agensi hiburan LeanBranding yang akhirnya memilih beliau sebagai bakat baharu.
Beliau dilantik sebagai ahli pertama dan ketua kumpulan KIIRAS pada April lalu. Selain Lingling, lima lagi ahli Kumpulan KIIRAS yang lain ialah Kurumi, Harin, Kylie, Doyeon dan Roah.
Single sulung kumpulan itu berjudul Kill Ma Bo$$, yang dilancarkan pada 29 Mei 2025, memperkenalkan konsep unik berteraskan elemen muzik country, R&B dan hip-hop yang digabungkan bersama tema visual “cowgirl” moden.
Setakat ini muzik video lagu tersebut telah memperoleh lebih 6.4 juta tontonan di YouTube hanya dalam masa kurang 12 hari.
Lingling yang fasih dalam bahasa Cina, Inggeris, Korea dan Bahasa Malaysia, menampilkan imej idola K-pop generasi kelima yang bersifat global serta serba boleh.
BACA JUGA: “Saya Dah Biasa, Cuma Jangan Kecam Aina,” – Ajai Ulas Penyingkiran Isaac Voo Di Big Stage 5
Kemampuan vokalnya yang menyerlah dalam persembahan sulung KIIRAS membuktikan beliau bukan sahaja mampu memimpin kumpulan baharu itu, malah berpotensi menjadi generasi baharu penyanyi K-pop unggul.
Album mini pertama KIIRAS telah pun dilancarkan pada 9 Jun lalu yang menampilkan pelbagai genre muzik sebagai bukti kepelbagaian serta kebolehan ahli kumpulan tersebut.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI