Setia menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan sepanjang karier seninya, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa terharu atas dedikasi yang ditunjukkan kelab peminatnya, Sitizone, yang kini genap berusia 21 tahun.

Siti turut mengakui bahawa perjalanan lebih dua dekad ini bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan pelbagai pengorbanan serta suka duka telah dilalui bersama.

21 Tahun Susah Senang, Siti Nurhaliza Kagum Dengan Sitizoners – “Tak Sangka Mereka Sesetia Ini.”

“Saya kagum dengan kesetiaan yang ditunjukkan para Sitizone. Saya pun tidak sangka mereka akan kuat, sabar dan sesetia ini.

“Kami sentiasa berpegang kepada kata-kata, kalau nak jadi peminat Siti Nurhaliza, mereka perlu menjadi sekuat dan sesabar Siti Nurhaliza.

“Seperti mana mereka mahu saya menjadi lebih kuat sepanjang berada dalam industri, mereka juga harus sekuat itu untuk menjadi peminat saya.

“Saya harap agar sokongan ini bukan sahaja ditunjukkan dalam bidang nyanyian sahaja. Saya mahu lebih daripada itu. Kalau kita buat kerja-kerja amal, kita masih boleh berkumpul,” katanya kepada MH.

Ads

Siti berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir dan perjumpaan Sitizone di MPAJ Convention Center, Taman Melawati pada Sabtu.

Katanya lagi, kesetiaan yang ditunjukkan tentunya menjadi penyuntik semangat untuknya terus berusaha dan memberikan yang terbaik dalam kerjaya.

21 Tahun Susah Senang, Siti Nurhaliza Kagum Dengan Sitizoners – “Tak Sangka Mereka Sesetia Ini.”

“Saya sangat terharu dan perasaan ini tak boleh nak diucap dengan kata-kata. Mereka sanggup berkorban dari segi wang, masa dan kudrat.

Ads

“Jadi, cara saya membalas segala jasa tersebut adalah dengan memberikan yang terbaik bila setiap kali membuat persembahan.

“Saya akan pastikan mereka pulang dengan puas hati dan setiap wang yang dilaburkan berbaloi. Saya lebih kepada nak menghiburkan peminat.

“Ada diantara mereka datang nak ‘healing’ dengan nyanyian saya. Muzik ini boleh menjadi satu terapi jiwa kerana ia mewakili setiap emosi. Kita bukan sekadar berhibur tapi lebih daripada itu,” ujarnya lagi.

Ads

Majlis Bertemakan Filem P. Ramlee

Mengulas mengenai majlis yang berlangsung itu, penyanyi lagu Indah Percintaan ini akui teruja apabila dapat bertemu dan beramah mesra dengan para peminat secara lebih dekat, setiap tahun.

21 Tahun Susah Senang, Siti Nurhaliza Kagum Dengan Sitizoners – “Tak Sangka Mereka Sesetia Ini.”

“Seperti yang anda lihat, majlis perjumpaan bersama Sitizone ini merupakan acara wajib pada setiap tahun. Cuma tahun lepas yang juga ulang tahun ke-20 Sitizone, kita tak sempat nak adakan acara seperti ini.

“Saya sibuk dengan enam buah konsert yang diadakan ‘back to back’. Kali ini, kami memang memilih bulan Januari. Kak Zie pun dah rancang lebih awal.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat berkumpul dengan para peminat lama dan baharu serta daripada negara yang pelbagai,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI