UNIC Sedia Duduk Semeja, Selesai Masalah Dengan Caprice

Alahai, masih tak habis lagi rupanya isu antara kumpulan nasyid, UNIC dan rapper, Caprice ini apabila wakil kumpulan tersebut, Fakhrul menyatakan kesediaannya untuk duduk semeja dengan Caprice bagi membincangkan masalah yang dihadapi mereka.

Katanya, selepas isu ketegangan yang timbul antara UNIC dan Caprice dalam mempromosikan ‘single’ terbaru mereka, rupanya kedua-dua belah pihak masih belum berkesempatan untuk bertemu.

IKLAN

“Kami teruskan apa yang kami mampu dan menghormati sesama sendiri. Mungkin dia ada alasan tertentu. Daripada sudut kami masalah sudah selesai dan kami sudah jelaskan perkara sebenar.

“Sehingga kini belum ada sebarang jemputan untuk membuat persembahan bersama selepas kejadian yang berlaku.

“Namun, kami dijadualkan untuk membuat persembahan bersama pada malam Anugerah MeleTOP ERA (AME2018) bulan depan.

“Kami tiada masalah untuk berjumpa dengan Caprice dan masih menunggu jawapan daripadanya,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Gema Gegar Vaganza Musim Kedua di Hotel Istana Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pihaknya akan cuba yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara kedua-dua pihak itu memandangkan pihaknya tidak menjangkakan akan timbul isu antara mereka.

IKLAN

“Kami tidak menjangka perkara ini akan terjadi sebab kami tidak tahu cara orang lain bekerja.

“Cuma kami nampak potensi yang besar ada padanya untuk kami berkolaborasi.

“Kami sudah pun laburkan yang terbaik, buang masa dan rugi untuk kami terlalu memikirkan masalah yang timbul,” katanya lagi.

Sebelum ini, ketegangan antara UNIC dan Caprice bermula sejak Februari lalu apabila rapper tersebut dikatakan gagal memberikan komitmen untuk mempromosikan ‘single’ terbaru mereka berjudul ‘Sedar’

Bagaimanapun, Caprice memberitahu media bahawa tindakan UNIC mengeluarkan kenyataan sedemikian merupakan salah satu langkah mempromosi lagu tersebut.