
Penyanyi Umairah menitipkan dedikasi lagu terbaharu yang berjudul Hujung Indah khas buat adiknya, Ahmad Dayyan atau Amad, yang kini menetap bersama bapa mereka di Kuantan, Pahang serta meneruskan persekolahan di sana.
Menurut Umairah, segala luahan perasaan yang terkandung di dalam lagu tersebut mempunyai kaitan yang cukup dekat dengan dirinya, terutama hubungan bersama Amad yang disifatkan sebagai individu paling rapat dalam hidupnya.
Luahan Hati Buat Adik Tersayang

“Lagu ini membawa maksud tentang kebangkitan setelah dilukai. Salah satu cara saya menghayati lagu ini adalah dengan membaca lirik. Malah, lagu ini juga berkait rapat dengan kisah saya.
“Namun, ia bukanlah berkaitan cinta. Luahan lagu ini banyak tujukan kepada Amad. Bila saya menyanyikan lagu ini, saya teringat pada dia. Saya jadi sedih.
“Sepanjang perjalanan di program Talk To My Manager, saya ada bersama dia. Saya selalu ingatkan dia supaya tidak berputus asa walau apapun yang terjadi,” katanya kepada MH.
Umairah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Hujung Indah yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Anak kepada penyanyi Siti Saerah itu turut mengakui hubungan mereka sememangnya unik.
Walaupun jarang menunjukkan kasih sayang secara terbuka, hubungan adik-beradik mereka tetap erat.

“Mungkin Amad tak tahu lagu ini ditujukan kepada dia. Kami ini kuat bergaduh. Di rumah lain, di luar, lain. Di rumah kami tidak tunjuk sangat rasa sayang itu. Masing-masing ada ego sendiri.
“Padahal, kami sentiasa meluahkan kisah masing-masing,” kongsinya lagi.
Terasa Kosong Selepas Amad Berpindah
Mengulas mengenai perpindahan Amad, Umairah mengakui dia agak terkejut dengan keputusan tersebut, namun menerima segala yang berlaku sebagai ketentuanNya.

“Nak buat macam mana lagi, Allah sudah tentukan sebegini. Saya pun agak terkejut juga. Saya tahu yang dia akan berpindah ketika saya berada di asrama.
“Namun, sebelum berpindah, dia sempat berjumpa dengan saya. Dia pesan supaya saya sentiasa kuat. Adik-adik saya yang lain masih kecil. Dengan siapa lagi saya nak bercerita.
“Saya memang rapat dengan Amad. Saya ada bertanya kenapa dia nak berpindah? Tak mengapalah. Mungkin ini masalah kami. Tak perlulah saya ceritakan,” ujarnya lagi.
Tambah Umairah, ketiadaan Amad membuatkan dirinya berasa kosong kerana mereka sering melakukan pelbagai aktiviti bersama termasuk menyanyi dan memenuhi jemputan persembahan.

Anda mungkin berminat dengan
“Dia suka kacau saya. Kami juga selalu menyanyi bersama-sama. Kalau ada jemputan persembahan, memang kami akan selalu berdua.
“Bila kita sudah tidak duduk sekali, saya rasa kosong. Tak mengapalah. Kami masih berhubung,” akhirinya.
Sejak dua minggu lalu, Amad mula menetap bersama bapanya, Saiful Anuar, di Kuantan dan meneruskan persekolahan di sana.
Dalam perkembangan lain, Umairah turut melancarkan single terbaharunya berjudul Hujung Indah yang dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) drama Bidadari Tanpa Syurga di platform Viu.
Lagu berentak balada itu merupakan hasil ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, selain diterbitkan oleh SN Legacy Sdn Bhd dengan edaran Universal Music Malaysia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

