
Pelakon terkenal Hollywood, Tom Cruise menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bersara daripada dunia lakonan meskipun usianya kini mencecah 62 tahun.
Cruise yang sinonim dengan watak Ethan Hunt dalam francais Mission: Impossible menyatakan komitmennya untuk terus aktif berlakon sehingga mencapai usia 100 tahun.
“Saya pernah menyatakan hasrat untuk berlakon sehingga usia 80-an. Namun kini, saya mahu meneruskannya sehingga usia 100 tahun.
“Saya tidak akan berhenti membintangi filem aksi, drama mahupun komedi. Saya sangat menikmati kerjaya ini,” katanya dalam temu bual bersama The Hollywood Reporter yang disiarkan semalam.
Pelakon kelahiran Amerika Syarikat itu turut berkongsi bahawa beliau terinspirasi dengan kejayaan Harrison Ford yang masih aktif dalam filem aksi walaupun telah berusia lebih 80 tahun.
Sebelum ini, Cruise menyatakan niat untuk terus membintangi saga Mission: Impossible hingga lewat usia.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa filem kelapan bertajuk Mission: Impossible – The Final Reckoning yang dijadualkan tayang pada Mei 2025 bakal menjadi penutup kepada francais yang telah bertahan lebih tiga dekad itu.
“Ini adalah yang terakhir. Filem ini tidak dinamakan ‘final’ tanpa sebab,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan lain, Cruise dijangka membintangi projek baharu bersama pengarah tersohor, Alejandro Iñárritu yang masih belum diumumkan judul rasminya.
Beliau juga dilaporkan dalam perancangan untuk membangunkan filem ketiga Top Gun serta sekuel kepada Days of Thunder.
Imbas kembali, Tom Cruise memulakan kerjayanya sejak era 1980-an dan sehingga kini masih kekal sebagai antara pelakon paling berpengaruh serta laris dalam industri perfileman antarabangsa.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI