Pelakon Farid Kamil mengakui hanya dia yang berani menyahut cabaran membawakan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pelakon lain menolak tawaran daripada produksi Indonesia untuk menjayakan filem mengenai tokoh politik itu.

Menurut Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 41, produksi Bianglala Entertainment memaklumkan dia adalah pilihan terakhir mereka kerana pelakon lain menyatakan mereka tidak berani berdepan risiko yang mungkin timbul kelak.

“Ya, ketika menerima tawaran berlakon, tiada pelakon, kru atau pengarah yang berani untuk hasilkan cerita pasal tokoh itu. Mungkin hanya yang terpilih saja akan membawa watak tersebut.

“Saya adalah pilihan terakhir produksi Indonesia itu. Mereka pernah buat tawaran watak itu kepada sekurang-kurangnnya tiga pelakon tempatan lain.

“Bagaimanapun, mereka menolak dengan alasan tidak berani. Namun, saya berani ambil risiko itu kerana jika takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan,” katanya kepada MH.

IKLAN

Farid ditemui ketika majlis gala tayangan filem terbaharu lakonan dan arahannya, Remp-It 2 yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Menjayakan watak tokoh pemimpin yang disegani itu, Farid berkata dia sudah pun bertemu Anwar sebanyak dua kali bagi mendekati dan meneliti pembawakan diri Anwar bagi disuntik untuk karakter yang dibawakannya itu.

“Pada awalnya, Penerbit Eksekutif filem yang juga kartunis Zunar tawarkan watak kontroversi kepada saya tetapi tanpa menyebut siapa nama tokoh berkenaan.

IKLAN

“Apabila saya bertanya untuk meminta keterangan lanjut pada pengarah Viva Westi mengenai watak itu baharulah saya tahu akan membawakan watak Anwar.

“Saya sudah bertemu dengan (Datuk Seri) Anwar sebanyak dua kali dan dia ada berpesan pada saya agar berhati-hati (dalam membawakan wataknya) kerana dia mempunyai ramai penyokong dalam kalangan orang India,” katanya lagi.

IKLAN

Selain Farid, filem berjudul Anwar ini turut dibintangi Acha Septriasa yang melakonkan watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem ini sedang peringkat akhir penggambaran dan dijangka menemui penonton awal tahun hadapan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI