
Penyanyi popular lagu Awan Nano, Hafiz Suip, tidak menafikan bahawa tindakan memadamkan akaun Instagramnya tahun lalu sebagai satu kesilapan.
Hafiz, 35, menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat dalam keadaan emosi yang tertekan, disebabkan masalah yang dihadapinya pada ketika itu.
Perjelas Punca Padam IG
“Jujurnya saya akui padam akaun IG kerana marahkan keadaan ketika itu. Kebetulan masa itu sedang hangat kisah artis sokong Israel.
“Jadi dah alang-alang saya buat keputusan untuk padam sajalah akaun IG itu, kononnya nak cari ketenangan.
“Sebenarnya ia satu kesilapan diri-sendiri, amarah. Akaun saya pada waktu itu sudah ada lebih 800,000 pengikut.
“Saya bercadang untuk buka akaun baru tetapi nak mulakan sesuatu yang baru bukan mudah.
“Cuma mungkin akan kembali aktif di Instagram dengan menggunakan nama syarikat. Yang sedia ada adalah TikTok dan Facebook,” katanya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Konsert By Ajai & Mega Friends, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ibu Sumber Kekuatan
Menyifaktan apa yang berlaku sebagai satu ujian, Hafiz pada masa sama mengakui ibunya adalah sumber kekuatan.
Katanya dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan seandainya ibunya tiada di sisi.
Kata Hafiz, kerana ibunya jugalah dia mengikuti Semi Final Muzik Muzik (SFMM)39 pada November lalu, jika tidak kerana dorongan ibunya, dia hampir menarik diri.
“Ibu yang sedang dalam bilik bedah untuk membuang kaki kirinya akibat kencing manis, sempat hubungi saya dan pujuk saya supaya teruskan bertanding dalam SFMM.
“Jika tidak kerana pujukan ibu, saya dah hampir tarik diri.
“Dalam keadaan dirinya sendiri yang kurang sihat, ibu masih risaukan keadaan saya dan kesihatan saya.
“Saya tak boleh bayangkan keadaan saya jika ibu tiada kerana dia adalah tempat saya bersandar,” katanya lagi.
Awal Januari lalu, Hafiz akhirnya membuka mulut apabila mengesahkan sedang dalam proses perceraian dengan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah.
Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata berusia 8 dan 5 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI