“Terma ‘Kawan-Kawan’ Sebenarnya Yang Membunuh Kita, Akhirnya Makan Diri Dan…,” – Ayda Jebat

Pernah menjalinkan hubungan kerjasama bersama beberapa jenama kecantikan tempatan sebelum ini, penyanyi Ayda Jebat bersyukur kerana setakat ini dia belum pernah terpalit dengan konflik atau isu besar hingga membawa hal ke tengah.

Katanya kepada MH, dia sebolehnya cuba berhati-hati dalam menjalankan apa sahaja bentuk urus niaga melibatkan pihak kedua atau ketiga.

Pada masa sama elakkan daripada menggunakan perkataan ‘kawan-kawan’ dalam perniagaan.

“Kalau boleh, saya jenis yang gemar untuk elak menggunakan terma ‘kawan-kawan’. Terma itulah yang boleh mendorong untuk ‘membunuh’ kita. Misalnya ‘boleh tak kau tolong aku buat ini, post ini di media sosial’ dan sebagainya.

“Hal tersebutlah yang akhirnya buat kita rasa tersepit dan serba salah. Fikir kawan dan pada masa sama bila rasa seolah-olah diperguna.

“Akhirnya akan makan diri kita semua, jalinan persabahatan pun dah jadi tak best,” katanya jujur.

IKLAN

Pada masa sama, penyanyi yang hits menerusi lagu Temberang ini juga tidak menafikan apabila wujudnya situasi sedemikian, ia mendorong individu untuk berfikir hal tak baik.

“Misalnya kita mulai terfikir mengenai adakah mereka berkawan dengan kita sebab ada agenda tertentu. Jadi bila ada perasaan itu yang rasa tak seronok. Kalau boleh memang saya cuba elakkan perkara tersebut.

“Kena jalankan urus niaga dengan baik dan profesional. Kawan tetap kawan tetapi hal berkaitan hitam putih perlu dititik beratkan juga.

“Bimbang nanti akan berlaku sesuatu dikemudian hari,” kongsi Ayda yang baru sahaja dilantik sebagai duta Watsons.

“Saya menjadi duta Watsons untuk setahun dan saya mungkin terlibat di dalam beberapa projek khas bersama mereka dari semasa ke semasa. Syukur dan alhamdulillah atas kepercayaan mereka,” kongsi Ayda.

IKLAN

Terdahulu, bintang ini ditemui pada majlis kejutan hari jadinya yang ke-27 baru-baru ini di Bukit Jalil Selangor.

Dalam perkembangan lain, Ayda turut muncul dengan sebuah single balada istimewa berjudul Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti).

Single berkenaan merupakan nulikannya sendiri bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak, dan turut diangkat sebagai lagu tema drama bersiri lakonan Ayda, Asalkan Dia Bahagia.

Foto: Instagram Ayda Jebat