“Sangat terhutang budi dengan isteri, mati hidup semula pun saya tak boleh bayar.”
Demikian kata vokalis kumpulan Coco, Nine atau nama sebenarnya, Zulqarnain Jaafar, 43, yang kini berdepan ujian mengalami serangan ‘cerebellar stroke with brainstem damage’ lebih tiga bulan lalu.
Reda dan berlapang dada, bapa kepada dua cahaya mata ini akui mengambil semangat isteri, Feride Hikmet dan anak-anak dalam menjalani kehidupan sehari-hari ketika ini.
“Isteri saya yang banyak berikan sokongan. Semangat dia kuat, saya pun jadi kuat. Kalau dia lemah, saya pun lemah.
“Kalau bercerita mengenai isteri, tak boleh gambarkan perasaan. Terhutang budi dengan dia. Mati hidup semula pun saya tak boleh bayar,” Katanya kepada MH.
Nine yang turut ditemani isteri berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Malam Silaturahim yang bakal dilangsungkan di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 25 Disember depan di Saloma Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bersempena dengan acara itu, Nine antara 20 penggiat seni dan bekas pengamal media yang menerima sumbangan daripada penganjur, HS Event & Entertainment Sdn. Bhd.
Berkongsi keadaan dalam menjalani kehidupan seharian, Nine senang untuk bersikap positif dan bersyukur kerana mempunyai keluarga yang saling menyokong.
“Pada awalnya saya diserang jantung sekitar bulan Julai dan kemudiannya kena strok. Saya sekarang dalam fasa pemulihan dengan jalani sesi fisioterapi.
“Saya reda, jalani hidup seperti biasa sahaja. Allah Maha besar, saya tidak boleh gambarkan perasaan saya.
“Insya-Allah kalau diberikan kesembuhan selepas ini, saya nak kerja balik macam biasa. Saya suka berniaga dan nak kembali beriaga.
“Saya kalau boleh tak mahu menyusahkan lagi sesiapa, terutamanya isteri dan anak-anak,” katanya turut susut berat badan hampir 20 Kilogram.
Terdahulu, Konsert Malam Silaturahim, bakal menghimpunkan 12 lagenda seni tanah air dalam satu malam penuh nostalgia di atas satu pentas, sekali gus mempromosi inisiatif amal untuk membantu penggiat seni dan rakan media yang memerlukan.
Acara ini juga bakal menjadi medan untuk memperkenalkan konsep dan tujuan program, selain menampilkan beberapa artis terkenal yang akan terlibat.
Antaranya Dwan Olan, Mel Wings, Joey BPR, Ali XPDC, Aris Ariwatan, Poey Sting, Ameng Spring, Asheed DEF GAP C, Bagiio, Amir Ukays, Wan Bossanova dan Noorshila Amin.
Selain meraikan artis lagenda, acara ini juga mengiktiraf individu penting seperti Ali Bakar, Dollah Bacha, dan Saari Amri, yang pernah menjadi tulang belakang kejayaan industri seni.
Penganjur program, Datin Rosmariza Dato Che Umar berkata objektif utama Malam Silaturahim bertujuan merapatkan hubungan antara penggiat seni sambil menghargai jasa mereka.
“Acara ini bukan samata-mata untuk meraikan artis-artis kita, tetapi turut menjadi platform untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Malah, sumbangan khas berupa wang tunai turut diberikan kepada penggiat seni dan rakan-rakan media yang kurang bernasib baik melalui kerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Tiket konsert Malam Silaturahim serendah RM150.00 dan boleh didapati sejak semalam menerusi laman berkaitan.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
View this post on Instagram
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI