
Penyanyi dan penulis lagu terkenal Amerika Syarikat, Taylor Swift sekali lagi menunjukkan keprihatinannya apabila menyalurkan sumbangan sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM480,000) kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang menghidap tumor otak jarang berlaku.
Kanak-kanak tersebut, Lilah Smoot, disahkan menghidap Atypical Teratoid Rhabdoid Tumour (ATRT) yang merupakan sejenis kanser agresif yang amat jarang dikesan, dengan hanya sekitar 58 kes direkodkan setiap tahun di seluruh dunia.
Sumbangan itu dibuat menerusi laman kutipan dana GoFundMe yang diwujudkan oleh ibu Lilah, Katelynn Smoot, bagi menampung kos rawatan anaknya yang kini menjalani terapi intensif.
Dalam mesej yang ditinggalkan bersama sumbangan tersebut, Swift menulis ringkas namun menyentuh hati bertulis, “Sending the biggest hug to my friend, Lilah! Love, Taylor.”

Sumbangan penyanyi lagu Love Story itu telah mencetuskan gelombang solidariti dalam kalangan peminatnya di seluruh dunia. Dalam tempoh singkat selepas sumbangan tersebut diumumkan, kutipan dana meningkat mendadak sehingga melebihi AS$318,000 (lebih RM1.5 juta).
Katelynn dalam kenyataannya kepada media berkata, bantuan tidak dijangka itu sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarganya dan memberi kekuatan baharu untuk terus berjuang bagi kesembuhan anak kecilnya itu.
“Kami tidak menyangka Taylor akan terbaca kisah anak kami. Sumbangannya bukan sekadar wang, tetapi semangat untuk kami terus berjuang,” katanya.
Menurut laporan , kisah Lilah menarik perhatian Taylor selepas tular sebuah video menunjukkan kanak-kanak itu menari dengan gembira diiringi lagu penyanyi tersebut walaupun sedang melalui rawatan kemoterapi.
Tindakan Swift itu bukanlah sesuatu yang baharu. Penyanyi berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah menyalurkan bantuan kepada pelbagai organisasi kebajikan, termasuk dana pendidikan, mangsa bencana alam serta pesakit kanser di seluruh dunia.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!










