
Wakil Malaysia ke pentas ratu cantik antarabangsa Miss Grand International 2025, Viviana Lin Winston, tidak berjaya meloloskan diri ke kelompok Top 22 ketika pertandingan tersebut berlangsung di Bangkok, Thailand, sebentar tadi
Viviana, 25, yang berasal dari Sarawak, sebelum ini menarik perhatian antarabangsa apabila memperkenalkan kostum nasional bertemakan “Queen of Terabai Iban”, rekaan pereka tempatan, Raja. Busana yang berinspirasikan budaya Iban itu menggambarkan kekuatan dan keanggunan wanita sebagai pelindung warisan serta simbol kepimpinan masyarakat.
Meskipun tampil yakin dan berkarisma sepanjang pertandingan, saingan sengit daripada 77 peserta antarabangsa menjadikan edisi tahun ini antara yang paling mencabar. Penilaian juri dikatakan merangkumi pelbagai aspek termasuklah pembawaan diri, penampilan fizikal, komunikasi, keyakinan, dan karisma personaliti.

Walaupun gagal ke pusingan seterusnya, penyertaan pelajar Universiti Malaysia Sarawak ini tetap membanggakan. Ramai peminat ratu cantik di Malaysia, terutamanya dari Sarawak, menzahirkan rasa bangga di media sosial kerana beliau berjaya mengangkat warisan Iban dan membawa semangat wanita Malaysia di pentas antarabangsa.
Penganjuran Miss Grand International 2025 kali ini menyaksikan kemenangan berpihak kepada wakil Filipina, Emma Tiglao yang berjaya mengalahkan peserta pelbagai negara dalam pertandingan akhir disiarkan secara langsung dari Bangkok.
BACA JUGA: Viviana Lin Winston Bawa Semangat ‘Ratu Terabai Iban’ Di Pentas Miss Grand International 2025

Biarpun tidak membawa pulang gelaran, perjalanan Viviana Lin Winston tetap meninggalkan kesan mendalam buat peminat dunia ratu cantik tanah air. Beliau membuktikan bahawa keberanian mempersembahkan identiti budaya Malaysia di mata dunia adalah satu kemenangan tersendiri.
Sejak menyertai pertandingan ini pada 2013, setakat ini hanya empat ratu cantik Malaysia yang berjaya mara ke kelompok terbaik pada malam finale. Kali terakhir adalah pada 2024 menerusi perwakilan Melisha Lin yang dinobatkan sebagai 5th runner-up.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

