Anggota polis wanita yang kini bergelar penyanyi, Soffwany Yusoff menaklumkan dirinya sudah bertunang dengan pelakon Raja Afiq, awal Mac lalu.

Merancang untuk berkahwin Ogos ini, Soffwany yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Harian Metro bagaimanapun berkata, hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sepatutnya kami merancang untuk menamatkan ikatan pertunangan ini ke fasa perkahwinan pada Ogos nanti, tetapi memandangkan PKPB masih berjalan, maka terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.

“Cuma, harapan kami semoga majlis pernikahan diimpikan dapat berlangsung sebelum tahun depan. 

“Namun, saya anggap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya kerana kami belum buat sebarang persiapan lagi seperti Afiq pun belum menghadiri kursus kahwin. 

IKLAN

“Selain itu, saya juga perlu menjalani beberapa prosedur permohonan lain memandangkan kerjaya sebagai anggota polis,” katanya seperti yang dipetik.

Soffwany atau nama sebenarnya, Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff turut menambah, dia dan Raja Afiq juga tidak berniat merahsiakan majlis pertunangan selepas tiga bulan berkenalan.

IKLAN

“Ketika di awal perkenalan kami, saya jarang melayan Afiq yang kerap menghantar mesej peribadi di Instagram. Namun, melihat pada kesungguhan itu saya akhirnya tertarik untuk berkawan.  

“Waktu berkawan, kami berborak banyak perkara terutama membabitkan perjalanan tugas polis kerana Afiq sangat berminat nak tahu.

IKLAN

“Daripada situ, kami bertukar nombor telefon dan membuat keputusan untuk bertunang pada Mac lalu. Cuma, tarikhnya kami biarlah rahsiakan dan majlis pertunangan pun berlangsung di kediaman keluarga saya di Johor Bahru,” jelas wanita berusia 31 tahun itu.

Soffwany sebelum ini pernah menjadi perhatian berikutan kelunakan suaranya mendendangkan lagu raya menjadi sensasi di internet.

Malah, dia juga bernaung sebagai penyanyi rakaman di bawah syarikat SRC Records.

Sumber/Foto: Harian Metro/ Instagram Raja Afiq

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI