Pelakon Anzalna Nasir meluahkan rasa terharu apabila dapat membesarkan anak sulungnya, Mohamed Eidrees dengan jagaannya sendiri.
Tidak mengharapkan mana-mana pembantu rumah, finalis Dewi Remaja 2009/10 itu berpuas hati dapat menjaga dan melihat telatah Eidrees membesar dengan baik dan sihat.
“Impian setiap ibu untuk menjaga anak sendiri. Jika kita ada rezeki dan peluang untuk menjaga sendiri anak kita, gunakanlah.
“Biarlah tangan sendiri yang mengasuh dan mencorakkan mereka. Tengok puas-puas muka anak, keletah dan karenah anak. Sekejap je mereka membesar. Jap, I nak menangis kat tepi zirafah tu,” tulisnya.
“Siapa kata saya dah berhenti menyanyi? Saya masih aktif cuma tiada pendedahan di kaca televisyen sahaja,” kongsi penyanyi sensasi lewat 90-an, Leina Hangat apabila ditanya mengenai perkembangan seninya ketika ini.
Cuma baginya, skala aktif itu kian berkurangan kerana perlu memberikan komitmen lebih terhadap keluarga.
“Alhamdulillah rezeki Allah masih lagi ada lagi. Selepas tamat kontrak dengan sebuah label muzik tidak lama dulu, saya bergerak sendiri,” katanya kepada MH.
Lebih 20 tahun bergelumang dengan seni, bintang yang sinonim menerusi lagu Ceria Dalam Gundah ini akui, dia kini sudah tidak lagi ambil pusing andai apa yang kurang mengenai atau sesuka hati memberikan gelaran lain terhadap nama komersialnya itu.
“Pada saya tak kisah orang nak panggil dengan nama Leina Hangat ke… Sekarang ni ada yang panggil dengan nama ‘Leina Suam-Suam Kuku’, Leina Hangit’ ada. Saya terima dengan seadanya.
“Memadai dengan saya nama sebenar yang diberikan Allaharham bapa, Norazlina Abdul Rahman yang bermakna Cahaya Gembira. Lina itu bermaksud ‘gembira’ dan Hangat itu ibaratnya sentiasa ‘hangat bergembira di Hari Raya’.
“Jadi saya tak kisah orang nak panggil dengan nama apa pun, asalkan yang eloklah. Ia sekadar nama. Cuma nama yang baik untuk saya sebagaimana yang tertulis di kad pengenalan itu yang lebih penting,” terangnya lagi.
Terdahulu, penyanyi dan pelakon ini ditemui pada majlis Pelancaran Busana Munawwareen 2020 di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ditanya mengenai sejauh mana keunikan nama komersialnya itu sendiri sehingga ia kekal ‘melekat’ sampai sekarang, pelakon filem AWAS ini pada awalnya akui agak malu untuk memperkenalkan diri.
“Ada juga yang tanya Leina mana ya? Bila saya nak cakap nama Leina Hangat itu, demi Allah saya malu, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.
“Akan tetapi disebabkan nama itulah, saya teruskan apa seadanya. Keliru juga nak perkenalkan diri. Cuma pada saya tidak salah pun,” kata Leina yang masih lagi ceria dan suka bergurau.
Terdahulu, penyanyi yang pernah menghasilkan album Tamil ini mulai mengenakan hijab kira-kira 10 tahun lalu.
Kali terakhir dirinya mengeluarkan naskhah seni adalah menerusi sebuah album kompilasi pada awal 2000.
Selain Ceria Dalam Gundah, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia lapan tahun ini turut popular menerusi lagu Gara-Gara, Eh…Dangdut, Helo-Helo Sayang dan banyak lagi.
“Hari ini saya diuji, abang saya pula pergi mengadap Illahi.” Luahan reda bercampur emosi itu diluahkan Ali Puteh yang juga adik kepada pelawak terkenal, Abam Bocey atau nama sebenarnya, Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan, yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Dipetik menerusi IG TV Awani, Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan bagaimanapun percaya dengan segala perancangan Yang Maha Esa dan perlu tenang berdepan dengan dugaan.
“Saya tak mampu sebenarnya untuk tahan benda ni sampai kadang-kadang saya termenung fikirkan nasib hidup. Tapi saya percaya dengan qada dan qadar, perancanganNya yang sangat hebat.
“Macam mana pun saya kena tenang, kena tahan, kena segala-galanya. Cuma selepas ini tiada lagi istilah abang dalam hidup saya.
“Saya dalam industri ini akan bertanya dengan dia, tetapi selepas ini tak ada abang saya dah dalam industri. Saya kena bergerak sendiri untuk terus berada dalam industri,” jelasnya.
Ditanya mengenai apakah hasrat yang ingin dilakukan bersama Abam, Ali menambah sepatutnya mereka bekerjasama di dalam sebuah program masakan dan merancang untuk mulakan penggambaran selepas Syawal.
“Sebenarnya saya ada perancangan menerusi sebuah program bersama arwah. Kita rancang selepas raya akan mulakan penggambaran, sebuah rancangan masakan. Tapi tidak kesampaian. Satu kerjasama dengannya balik, tapi benda itu tidak akan jadi.
“Kalau saya diberi peluang pun saya tak mahu buat sebabnya saya yang merancang bersamanya. Tiada yang boleh gantikan dia dalam hidup saya,” kata Ali yang turut akui pada fasa ini, dia sekeluarga perlu tenangkan ibu tercinta.
“Saya perlu tenteramkan mak kerana dalam keadaan sekarang dia pun masih sakit, masih tidak sihat. Saya tidak tahu apa yang akan jadi selepas ini, tetapi saya akan jaga mak saya macam mana dia jaga. Arwah anak yang baik.
“Kalau tengok hari ni ramai yang datang. Saya tahu ramai yang sayang dia. Macam yang dia pernah cakap pada saya, kalau kita baik Ali semua orang sayang kita. Tak pernah dia bergaduh dengan siapa-siapa, tak pernah susahkan orang.
“Hari ini terbukti penuh dalam masjid ni, datang nak tengok dia. Itu yang saya tahu dia sangat hebat dalam hidup saya,” tutur Ali dalam nada sebak.
Terdahulu, Allahyarham Abam meninggalkan seorang balu, Siti Nur Hidayah Mohd Ali, 28, dan anak lelaki mereka Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini mencecah usia 5 bulan.
Menurut Awani, arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada pagi Isnin, sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Selayang bagi proses bedah siasat.
Jenazahnya kemudian dibawa ke Masjid Zakaria, Gombak kira-kira jam 5.30 petang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu sekitar jam pukul 7.30 malam.
Selepas sembilan minggu bersaing, teka-teki mengenai siapakah pasangan artis dan pengurus yang berjaya melangkah ke konsert Grand Finale Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) akhirnya terjawab.