Polis menahan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia mendera anak angkat perempuan berusia dua tahun.

Menerusi Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat bagaimanapun memaklumkan penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu dibebaskan dengan jaminan polis, pada hari sama sebaik siasatan ke atasnya selesai dijalankan.

“Tangkapan dibuat ke atas Datuk Aliff, semalam.

“Siasatan dijalankan dan dia dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini seperti yang dipetik.

Terdahulu pada semalam, Fadzil dalam satu kenyataan, mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita Indonesia yang juga pembantu rumah Aliff, Sabtu lalu.

Dalam laporan polis yang diterima pada jam 3.55 petang itu, pengadu memaklumkan Aliff mendera anak angkat perempuannya yang berusia dua tahun.

IKLAN

Menurut Fadzil, polis kini sedang menjalankan siasatan dan akan memanggil saksi yang ada kaitan dengan kes berkenaan .

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2012.

BH sebelum ini melaporkan polis sudah merakam percakapan Aliff sebaik menerima laporan berhubung kes itu.

Polis juga sudah merakam percakapan terhadap empat saksi lain termasuk mereka yang berada di rumah usahawan terbabit yang terletak di Petaling Jaya.

IKLAN

Berdasarkan aduan pengadu, suspek memukul anak angkatnya pada Jumaat lalu di kediamannya sewaktu ingin merakam gelagat kanak-kanak itu sedang menangis untuk tujuan publisiti.

Pengadu mendakwa suspek turut memanggilnya masuk ke dalam bilik kasut bersama anak angkatnya itu selain menyuruhnya memukul kanak-kanak terbabit, namun dia tidak menuruti arahan itu kerana bimbang kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan.

Susulan itu, pengadu kemudian membuat laporan polis kerana khuatir sekiranya turut dituduh memukul anak angkat suspek.

IKLAN

Satu salinan laporan polis dipercayai berkaitan kes berkenaan turut tular di media sosial, sejak semalam.

Antara isi kandungan laporan polis itu turut menyebut suspek memukul kanak-kanak itu dengan kasut pada badan selain mencubitnya sehingga meninggalkan kesan.

Semalam, Aliff dijadualkan mengadakan satu sidang media pada jam 3 petang bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu di pejabatnya di Kota Damansara.

Bagaimanapun sidang media itu dibatalkan dengan alasan kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Sumber/Foto: Berita Harian/Instagram Aliff Syukri

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI