Berita

Shukri Yahaya Mohon Maaf Isu Foto Isyarat Kurang Sopan, Anggap Netizen Kini Bijak Menilai – “Saya Tertanya-Tanya, Kenapa Kena Libatkan Isteri?

Share

Pelakon Shukri Yahaya mengakui tidak menyangka foto yang memaparkan dirinya menunjukkan isyarat kurang sopan ketika bersama rakan-rakan rapat akan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Menurut Shukri, tindakan itu hanyalah sekadar gurauan bersama sahabat yang sudah lama tidak ditemuinya. Malah, dia tidak menyangka gambar tersebut akan dipersoalkan sehingga menjadi perhatian ramai.

“Tindakan saya itu sedikit nakal. Namun, itu hanyalah gambar bersama kawan-kawan rapat dan sudah lama tidak berjumpa. Jadi, kami pun bergambar seperti biasa.

“Bila Andy Teh kita kata dia nak upload di media sosial, saya pun okay dan tak kisah. Saya tak anggap ia satu hal yang serius. Kemudian, ada seorang hamba Allah yang menaikkan isu ini.

“Kemudian saya minta Andy untuk turunkan gambar itu kerana ada orang yang tidak suka,” katanya kepada MH.

Shukri berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan perdana filem Chelot yang berlangsung di GSC, IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

Mohon Maaf, Akui Kesilapan

Dalam pada itu, Shukri tampil memohon maaf sekiranya hantaran tersebut telah menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Bila sudah diturunkan, namun isu itu masih lagi orang bercakap. Saya akui, itu memang kesilapan saya. Saya minta maaf,” ujarnya.

Bagaimanapun, Shukri berpendapat pengguna media sosial ketika ini sudah semakin bijak dan mampu membezakan antara pengaruh yang baik serta buruk.

Persoal Peranan Ibu Bapa Pantau Anak

Pada masa sama, Shukri berpandangan ibu bapa seharusnya memainkan peranan lebih besar dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak, berbanding terlalu cepat menyalahkan kandungan yang dikongsikan oleh orang lain.

“Bagaimanapun, di sini, saya ingin bertanya semula, hantaran itu hanyalah gambar saya bersama kawan-kawan. Saya percaya, para pengikut saya di media sosial adalah daripada golongan manusia yang boleh berfikir mana yang baik dan buruk.

“Maknanya mereka bukan budak budak. Lagi pun, budak-budak tidak boleh bermain media sosial. Jadi, kenapa isu ini harus diperbesarkan?

“Jika ada yang kata, risau jika ada anak-anak terikut? Saya nak tanya semula, daripada menegur atau mencari kesalahan orang yang jauh, cuba cari kesalahan di sekeliling kita.

“Kita nasihat dahulu anak-anak itu. Jika anda takut anak-anak terikut perkara yang tidak elok, kenapa benarkan dia main media sosial?,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Shukri turut meluahkan rasa hairan apabila ada pihak cuba mengaitkan tindakannya dengan keperibadian isterinya.

“Saya juga tertanya-tanya kenapa kena libatkan isteri? Saya tak pernah campurkan kehidupan peribadi dengan kerja saya. Saya akui yang saya salah. Saya hanya anggap itu posting bersama kawan-kawan sahaja.

“Saya tak anggap perkara itu boleh merosakkan akhlak orang. Daripada risaukan akhlak anak-anak kecil itu, risaukan dahulu kandungan yang mereka tonton,” akhirinya.

Terdahulu, nama Shukri menjadi perhatian susulan tular sekeping foto yang memaparkan dirinya menunjukkan isyarat tangan kurang sopan.

Susulan itu, segelintir netizen berpendapat tindakan berkenaan tidak sepatutnya dilakukan kerana dikhuatiri boleh mempengaruhi para pengikutnya di media sosial, khususnya golongan bawah umur.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf