
Bintang tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan memohon maaf kepada peminat apabila terpaksa membatalkan tradisi tahunan menyapa orang ramai yang berkumpul di hadapan kediamannya, Mannat, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada 2 November.
Menerusi kenyataan di platform X , aktor terkenal itu menjelaskan bahawa beliau tidak dapat keluar bertemu peminat atas nasihat pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang isu keselamatan dan kesesakan orang ramai di sekitar kawasan kediamannya di Mumbai.
“Saya dinasihatkan oleh pihak berkuasa untuk tidak keluar bertemu dengan semua peminat yang menunggu di luar Mannat. Saya benar-benar memohon maaf kerana tidak dapat berbuat demikian, namun ia demi keselamatan semua pihak disebabkan isu kawalan orang ramai,” tulis beliau.
Menurut laporan media tempatan, kawasan sekitar kediaman Shah Rukh Khan mula dipenuhi ribuan peminat sejak malam sebelum ulang tahun kelahirannya. Tradisi beliau melambai dari balkoni Mannat setiap tahun menjadi simbol penghargaan terhadap sokongan penggemar filemnya dari seluruh dunia.
Have been advised by authorities that I will not be able to step out and greet all you lovely people who have been waiting for me.
My deepest apologies to all of you but have been informed that it is for the overall safety of everyone due to crowd control issues.Thank you for…
— Shah Rukh Khan (@iamsrk) November 2, 2025
Bagaimanapun, selain faktor keselamatan, difahamkan rumah agam berkenaan kini sedang menjalani kerja pengubahsuaian besar, sekali gus menyukarkan tradisi tahunan itu diteruskan dalam keadaan biasa.
Shah Rukh turut menyuarakan rasa rindu terhadap momen bertemu peminat secara dekat, sambil menegaskan beliau akan menggantikan detik istimewa itu pada masa sesuai nanti.
Ulang tahun ke-60 pelakon yang digelar King of Bollywood itu tetap diraikan meriah oleh peminat di seluruh dunia menerusi media sosial dengan tanda pagar #HappyBirthdaySRK sehingga menjadi antara topik paling tular di platform X dan Instagram.
Shah Rukh Khan yang memulakan kerjaya lakonan pada awal 1990-an telah membintangi lebih 80 filem, antaranya Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Chak De! India dan Pathaan.
Sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, beliau kekal sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan India.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!







