“Rasanya seperti hilang separuh badan. Seakan-akan lumpuh”

Itu luahan penyanyi dan pelakon, Noki saat pertama kali mengetahui tentang pemergian bapanya, Aji Lee Ahsam pada tanggal 9 Disember lalu.

Bagaimanapun, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan tetap menyifatkan pemergian bapanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri.

Menurut Noki, bapanya yang selama ini mengidap lumpuh separuh badan kini sudah boleh berehat di alam sana tanpa perlu menderita lagi.

“Saya tidak pernah kehilangan orang terdekat atau keluarga. Kali terakhir mungin nenek saya. Itu pun ketika masih kecil. Masa itu tak tahu apa-apa sangat.

“Kali ini, orang yang paling saya sayang pergi. Namun, saya bersyukur kerana segala urusan menguruskan jenazah dipermudahkan.

“Arwah bapa saya mengidap lumpuh separuh badan daripada pinggang hingga kaki. Dia memang duduk di atas katil sahaja. Makan, buang air dan ambil wudhu pun di situ. Saya bersyukur kerana penderitaan dia sudah berakhir,” katanya kepada MH.

“Sempat Tukar Tarikh Lahir Kepada Tarikh Meninggal Di Facebook,” – Noki Anggap Pemergian Bapa Ada Hikmah “Sempat Tukar Tarikh Lahir Kepada Tarikh Meninggal Di Facebook,” – Noki Anggap Pemergian Bapa Ada Hikmah

IKLAN

Noki yang juga merupakan anggota kumpulan K-Clique berkata sedemikian ketika ditemui majlis sidang media Fiesto Fest Melaka 2022 yang diadakan di ibu kota pada Jumaat.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Payung Pelangi ini turut mendedahkan bapanya itu seakan-akan mengetahui yang dirinya bakal meninggalkan keluar untuk selama-lamanya.

“Selama ini, bapa saya tak boleh potong kuku kakinya sendiri tetapi sebelum pergi, semuanya dipotong sendiri. Kemas dan cantik pula tu.

“Malah, dia juga sudah mandi dan buang segala hadas. Proses tersebut memudah urusan mandi jenazah. Dia seperti dah tahu.

IKLAN

“Apa yang membuatkan saya dan adik- beradik lain terkejut, bapa saya sempat menukar tarikh lahirnya di Facebook kepada tarikh dia meninggal,” kongsinya lagi.

Katanya lagi, sebagai anak lelaki, dia akan berusaha mencari kekuatan demi memberi kesenangan buat keluarganya.

“Walaupun saya ini anak bongsu tetapi yang sedikit lebih berkemampuan adalah saya. Saya percaya, rezeki yang saya peroleh saat ini, bukan saya yang punya. Ia hanya asbab untuk saya bantu keluarga.

“Itu menguatkan saya sampai sekarang. Saya akan pegang nasihat arwah untuk sentiasa menjaga solat. Daripada solat, kita akan menghindar daripada perkara yang bukan-bukan.

IKLAN

“Meski saya belum sempurna, saya akan perlahan-lahan berubah ke arah yang lebih baik,” akhirinya.

“Sempat Tukar Tarikh Lahir Kepada Tarikh Meninggal Di Facebook,” – Noki Anggap Pemergian Bapa Ada Hikmah

Terdahulu, Noki bakal membuat persembahan bersama MK di Fiesto Fest Melaka yang akan diadakan bermula 29 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023.

Festival selama empat hari ini sememangnya sarat dengan aktiviti bermanfaat seperti sukan, seni dan budaya serta expo jualan.

Malah, persembahan bunga api juga turut akan diadakan bersempena sambutan Ambang Tahun Baru 2023.

Selain Noki dan MK, antara selebriti tempatan yang turut akan membuat persembahan adalah seperti Asfan Shah, Azlan & The Typewriter, Kristal dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI