“Saya ada berbincang dengan anggota Puteh yang lain.” Itu kata Ali Puteh apabila ditanya mengenai suntikan emosi yang diberikan Puteh pada penghujung persembahan pusingan kedua pada malam final Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019)yang berakhir malam tadi.

Puteh yang dianggotai oleh Ali Puteh, Mamak Puteh dan Man Raja Lawak dinobatkan sebagai juara MLM 2019 mengetepikan empat kumpulan lainnya.

Menerusi persembahan ‘Kenduri’ yang dibawa Puteh, penonton yang memenuhi tempat duduk di Royal Theatre, Shah Alam tersentuh apabila Ali turut memberi dedikasi atas pemergiaan puteri keduanya, Allahyarham Sharifah Nur Ainul Mardhiah.

“Anak saya meninggal pada minggu kelima pertandingan, tapi saya simpan mengenai hal itu. Bermula dari minggu kelima, saya cakap tolonglah saya tak mahu ‘main’ langsung atau isu melibatkan arwah.

“Anak saya meninggal dunia pada Selasa dan Jumaat saya masih teruskan persembahan. Saya tak mahu isu ‘kesian…’. Saya tak nak langsung sebab kita berada di pentas komedi.

“Orang hanya mahu ketawa, kalau kita sajikan dengan perkara itu ia ibarat satu benda klise yang menampakkan kita cuba tarik perhatian,” jelasnya kepada MH.

Ali berkata demikian selepas ditanya mengenai apakah reaksinya andai ada penerimaan berbeza dari penonton terhadap persembahan yang dibuat.

IKLAN

Jelasnya lagi, penekanan terhadap kualiti persembahan terakhir adalah lebih menjurus kepada komedi dan apakah mesej yang ingin disampaikan.

“Ketika di malam final, saya ada beritahu Mamak kita tekankan dengan elemen komedi dan content dan pada 30 saat terakhir baru kita ‘twist’. Maknanya kenduri yang dilakukan ialah untuk apa. Tapi kalau daripada awal, kita sentuh mengenai hal lain.

“Maknanya kita tidak terapkan ia daripada awal. Kalau kata nak mainkan isu itu daripada awal, lagi menangkap. Tapi saya rasa tak perlu, tak adil untuk pertandingan seperti ini. Untuk menang RM500,000 main dengan elemen sebegitu, rasanya tak sesuai,” katanya.

Berkongsi mengenai hal tersebut dengan lebih lanjut, Ali turut akui isterinya tidak diberitahu awal mengenai apakah intipati persembahan yang akan dilakukan pada malam final.

IKLAN

“Saya tak ada beritahu apa content yang bakal dibuat, selalunya dia tanya. Cuma di belakang pentas saya cakap, ada suprise tau malam ni. Lepas selesai persembahan dia jumpa dan saya terus peluk dia. Saya cakap inilah yang saya cuba ketengahkan, insyaAllah.

“Dia kata kenapa tak bagitahu, saya cakap kalau beritahu nanti ia tak akan menjadi. Yang tahu hanyalah pihak produksi malah peserta lain pun tak tahu. Kita rehearsal hari Khamis dan perfom hari Jumaat,” ujarnya.

Terdahulu, Puteh turut menerima Oppo Punchline Machine, iaitu peserta yang mendapat markah tertinggi daripada pihak juri.

IKLAN

Zero ditempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM250,000 beserta trofi sementara tempat ketiga menjadi milik kumpulan Bocey.

Bocey yang dianggotai oleh Abam, Achey dan Fad berjaya meraih hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi.

Dua lagi finalis J-born dan Rare diumumkan sebagai pemenang keempat dan kelima dengan masing-masing menerima wang tunai RM50,000 dan RM15,000 selain trofi kemenangan.

Dihoskan oleh Datuk AC Mizal, MLM 2019 berlangsung selama 11 minggu di Royal Teater, Shah Alam manakala Datuk Jamal Abdillah, Inul, Najip Ali serta Lisa Surihani pula dipilih sebagai juri tetap musim ini.

Allahyarham Sharifah Nur Ainul Mardhiah, tiga bulan, meninggal dunia November lalu selepas disahkan menghiap masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.

Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan mempunyai seorang lagi cahaya mata, Sharifah Nur Aaira Qaireen yang kini mencecah usia tiga tahun.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI