
Penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search, bakal mencatat sejarah dalam karier seninya apabila buat pertama kali, menjayakan konsert solo di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 26 April depan.
Konsert yang diberi nama Amy Search Magic Konsert Solo Pertama itu dijangka menjadi mercu tanda penting dalam perjalanan seni Amy, yang telah lebih empat dekad mewarnai industri muzik.
Ada Sebab Tampil Konsert Solo
Selepas 44 tahun mencipta fenomena bersama kumpulan Search, Amy kini bersedia untuk menampilkan sisi berbeza dalam kerjayanya.
Langkah ini dilihat sebagai usaha serius untuk mempersembahkan kehebatan seninya secara lebih mendalam dan intim kepada para peminat.
“Saya menerima pelawaan pihak penganjur sekitar tahun lepas. Tidak dinafikan memang ramai yang menawarkan saya menjayakan konsert solo tapi saya selalu beri alasan belum bersedia.
“Tapi disebabkan tawaran ini datang daripada pengarah konsert, Jennifer Thompson saya terus terima kerana saya mahukan barisan tenaga kreatif yang cukup berpengalaman dan bukan tangkap muat.
“Setiap lagu yang akan saya nyanyikan nanti adalah cerminan daripada warna kehidupan saya. Setiap nota dan lirik membawa kisah yang berbeza, melambangkan suka duka yang saya lalui dalam industri ini.
“Saya berharap konsert ini akan memberi ruang kepada peminat untuk merasai segala perasaan yang saya alami sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Bukan Jual Mahal
Amy ditemui pada majlis sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama yang diadakan di Society Mont Kiara, Kuala Lumpur, pad Isnin.
Teruja untuk menghiburkan para peminat setianta, Amy turut menafikan dirinya bersikap jual mahal selepas menolak pelawaan beberapa penganjur untuk mengadakan konsert solonya, sebelum ini.
“Saya bukan jual mahal, tapi siapa produser konsert adalah penting untuk saya. Mereka perlu memahami latar belakang saya.
“Saya perlukan orang yang tepat dan waktu yang tepat sebelum setuju untuk menjayakan konsert.
“Melalui konsert solo ini, saya ingin mempersembahkan bukan sahaja muzik, tetapi juga jiwa saya.
“Lagu-lagu yang akan saya bawakan adalah bukan sekadar hits, tetapi juga pengalaman hidup yang membentuk siapa saya hari ini. Peminat akan dapat melihat sisi peribadi saya yang jarang mereka ketahui,” katanya lagi.
Konsert ini dibawakan secara eksklusif oleh TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual bermula 5 Februari ini menerusi wowtix.com.my dan harga tiket bermula daripada RM188 hingga RM788.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
View this post on Instagram
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI