Pelawak Tauke menegaskan dirinya tidak terbabit, sekaligus menafikan dirinya adalah individu yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Ahad lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria menegaskan, dia tiada kaitan dengan penangkapan yang dibuat. 

“Saya tidak terbabit dalam apa-apa kegiatan seperti itu. Gilalah siapa yang petik nama saya itu. 

“Saya ada saja di rumah di Bukit Jalil ini. Saya berada dalam keadaan baik dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan. 

“Biarlah apa orang nak cakap, tapi tak eloklah kaitkan saya dengan isu sedemikian,” katanya seperti yang dipetik.

Tidak mampu menutup mulut orang, Tauke menjelaskan meski namanya antara yang ‘dipetik’ sesetengah netizen, namun dia tidak marah sebaliknya menganggap ia sesuatu yang lucu. 

“Rasa kelakar pula bila nama saya dikaitkan dalam perkara ini. Saya tiada hak untuk menutup mulut orang. Masing-masing ada hak bersuara. Kalau Agong pun orang boleh pertikaikan, apatah lagi saya ini. 

“Jangan risau saya berada dalam keadaan yang baik disamping isteri saya sekarang ini,” katanya lagi.

Sementara itu, isteri Tauke, Nadia Mohd Affandi turut menafikan suaminya mempunyai kaitan dengan jenayah terbabit, sebaliknya berada di sisinya ketika ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak terkenal telah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira  jam10 pagi itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang untuk tujuan eksploitasi seks.

Sejak berita tersebut disiarkan, nama Tauke antara pelawak yang disebut-sebut warganet. 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI