“Saya Tak Kisah Pun Siapa Yang Menonjol Tapi…,” – Nabil Ulas Energi ‘TipTop’ Elly Mazlein

Hos Nabil Ahmad mengulas mengenai energi ‘tiptop’ yang dipamerkan rakan pengacaranya di dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Elly Mazlein.

Nabil berkata, dia tidak kisah sekiranya ada yang mendakwa penampilannya di dalam rancangan realiti hiburan popular itu seakan tenggelam susulan gandingannya bersama bintang versatil itu.

“Dekat GV ini bagi saya yang perlu diberi perhatian adalah peserta tapi bila Elly atau saya lebih menonjol, bagi saya itu adalah satu kejayaan untuk program itu juga.

“Saya tak kisah pun siapa-siapa yang menonjol tapi saya mengharapkan peserta lebih dapat ‘highlight’ sebab yang bertanding adalah mereka tapi bila Elly (jadi perhatian) saya tumpang happy dan seronok sebab apa-apa pun ini adalah kerja berpasukan.

“Bila gandingan kami diperkatakan dan viral lebih-lebih lagi di TikTok, saya gembira sebab orang menghargai kerja kami sebagai hos,” katanya kepada MH.

Bagaimanapun selepas lapan musim menggemudi GV bersama Jihan, Nabil akui dia sedih tidak dapat mengendalikan GV musim ini memandangkan Jihan baru sahaja bersalin anak kedua.

IKLAN

Artikel Berkaitan;

“Inilah Contoh…,”- Rakam Aktiviti Di Konti, Perkongsian Issey Fazlisham Tentang Nabil Ahmad Buat Ramai Kagum

“Ia Beri Peluang Buat Saya Yang Berasal Dari Kampung,” – 25 Tahun Yang Gah, Nabil Ahmad Kenang Jasa Astro

“Kami sama-sama dari GV1 hingga GV8, sedikit sedih tu adalah tapi Jihan memang dah inform awal-awal, sewaktu GV9 berlangsung dia memang sedang berpantang.

“Mana tahu dalam minggu separuh akhir atau final nanti, kalau Jihan boleh buat kemunculan, seronok juga nanti pentas itu kalau ada kami bertiga.

“Jihan pun ada beritahu dia suka dan terhibur melihat gandingan saya bersama Elly pada minggu pertama,” katanya lagi.

IKLAN

GV9 sebelum ini menampilkan persaingan 13 penyanyi yang terdiri daripada Jaclyn Victor, Shila Amzah, Dina Nadzir, Tomok, Pat Candy, Bob Yusof dan Hazrul Nizam.

Turut bertanding termasuk Roy Kapilla, Asheed Def-Gab-C, Haida Hasnan, Fuad Rahman, Tom dan kumpulan VE.

Penyanyi Roy Kapilla dan Haida Hasnan bagaimanapun sudah pun tersingkir daripada persaingan musim ini.

GV9 bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini