Pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, pada Rabu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.

Memetik Sinar Harian, tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.

Selain itu, tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan yang dilakukan pada 6 Julai 2022, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, antara jam lebih kurang 8.30 malam hingga 12 tengah malam di dalam sebuah bilik di rumah sama.

IKLAN

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

IKLAN

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

IKLAN

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 8 Disember ini.

Sementara itu, PU Azman yang ditemui di mahkamah mengucapkan terima kasih dan menghargai doa semua pihak.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber, Foto: Sinar Harian, Berita Harian

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI