Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu tuntutan sebanyak RM59 juta oleh seramai 41 pelabur pelaburan mata wang kripto terhadapnya.

Terkejut kerana baru mengetahui hal terbabit hari ini, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman menyerahkan sepenuhnya kepada peguam untuk tindakan susulan.

“Saya sendiri tidak tahu secara terperinci apa tuntutan mereka. Malah saya baru sahaja tahu hal ini selepas dimaklumkan pihak media.

“Jadi lebih baik sekirannya berurusan dengan peguam saya. Biarlah pihak peguam akan menjawab.

“Saya tidak boleh komen lanjut sebab perkara ini melibatkan undang-undang. Biarlah saya bincang dengan peguam dahulu,” katanya.

Vida berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharu anaknya, Cik B berjudul Doakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

IKLAN

Tambah Vida dia juga tidak menolak sekiranya apa yang berlaku sebagai untuk menjatuhkan imejnya.

“Saya dah lama dalam industri perniagaan dan sosial media. Saya tahu ramai yang tak suka saya. Saya  tahu saya banyak musuh.

“Jadi tak mustahil ada orang yang cuba nak jatuhkan saya. Mungkin mereka sakit hati atau cemburu.

IKLAN

“Memanglah terkejut dengan berita itu tapi saya tak terkesan pun. Saya masih bertahan dalam perniagaan,” katanya lagi.

Dalam masa Vida juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat sekiranya mereka mahu bersemuka.

“Mereka tidak ada menghubungi saya pun. Boleh sahaja cari saya di sosial media. Saya pun sentiasa ada di Malaysia,” tegasnya.

IKLAN

Pada pagi Jumaat, satu sidang media diadakan menuntut Vida untuk membayar wang pelaburan kepada 41 individu yang pernah membuat pelaburan dalam Lavida Coin (DSV Crypto Club, LUX Galaxies and VI Profit Galaxy).

Kesemua yang terbabit membuat tuntutan tersebut selepas mendakwa wang pelaburan serta keuntungan yang dijanjikan tidak dipulangkan kepada mereka sejak 2018.

Peguam yang mewakili kesemua plaintif iaitu Mohammad Izwan Azmi dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada Vida selaku defendan pertama pada 15 Disember 2022 di Empire Beauty DSV, Angsana Mall, Ipoh, Perak.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI