Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mendedahkan dia menerima keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat yang menolak permohonan dua individu untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan bintang tersebut, Julai tahun lalu.

Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, bagaimanapun belum boleh memberikan komen secara terperinci kerana proses selanjutnya masih berjalan.

“Keputusan tersebut saya terima semalam (Jumaat) daripada peguam saya. Ini adalah keputusan pertama dan saya difahamkan masih ada lagi beberapa permohonan lain daripada pihak sana.

“Yang pertama ini sudah dapat jawapan, ditolak. Keputusan yang diputuskan mahkamah, itulah dia. Apa pun saya serahkan segalanya kepada prosedur perundangan,” katanya kepada MH.

Nana berkata demikian ketika ditemui ketika siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL yang berlangsung di Paradigm Mall, Johor Bahru, pada Sabtu.

Ditanya perkembangan dirinya susulan kes mahkamah yang masih berjalan, Nana akui dia memilih untuk meneruskan kehidupan seperti sebelumnya.

IKLAN

“Saya jalankan hidup macam biasa. Walaupun mungkin proses ini ambil masa yang lama, tapi tak mengapa, saya okay saja. Hidup dengan cara sendiri.

“Kalau dipanggil untuk perlu hadir ke mahkamah, saya akan hadir. Begitulah, ” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan dua individu untuk membatalkan saman yang difailkan Nana terhadap mereka, berhubung dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.

Dua individu itu ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 44, dan jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi, 43.

IKLAN

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Nana selaku plaintif selepas prosiding kes secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd.Johan Lee.

Menurut peguam itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan tersebut membayar kos RM3,000 kepada Siti Nordiana.

“Mahkamah menolak permohonan itu atas alasan antaranya terdapat asas fitnah dalam pernyataan tuntutan plaintif. Tarikh 27 September ini ditetapkan untuk pengurusan kes, seterusnya,” kata peguam tersebut yang dipetik.

IKLAN

Terdahulu Sam Musyadzafar dan Razidah masing-masing merupakan defendan keempat dan kelima telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut pada 24 Januari lalu.

Pada prosiding sama, Sam Musyadzafar diwakili peguam Zeti Zulfah Zulkifli @ Hassan manakala Razidah diwakili Muhammad Aliff Haiqal Roslan.

Selain kedua-dua defendan itu, Siti Nordiana turut menyaman Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, dan Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, selaku defendan pertama sehingga ketiga.

Menerusi pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai tahun lepas kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI