Setiap individu pasti mempunyai detik hitam hingga hampir putus asa dalam hidupnya. Mungkin itulah situasi yang boleh diandaikan buat pelakon dan hos, Norman Hakim.

Bintang bertubuh kekar itu mengakui dia pernah terfikir untuk ambil nyawa sendiri gara-gara tertekan.

Memetik artikel dari Nona, pendedahan  mengejutkan itu didedahkan sendiri suami kepada pelakon, Memey Suhaiza ini ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan hos terbaharu Program Mingguan Wanita, Jun lalu.

Norman bagaimanapun mengharapkan agar apa yang dikongsikan itu boleh memberi pedoman dan iktibar berguna untuk semua.

Detik sukar itu rupanya berlaku lebih 10 tahun dulu, ketika dirinya berpisah dengan Abby Abadi.

“Sejujurnya, 10 tahun lepas saya pernah buat keputusan untuk bunuh diri. Iya, orang menilai tentang betapa bahagianya kehidupan saya sekarang tapi mereka tak tahu bagaimana hidup saya suatu masa dulu.

“Kalaulah saya ‘padam’ masa tu…,” katanya seperti yang dipetik.

“Masa tu tak fikir panjang. Kita ni pula tengah tertekan dan mudah terpengaruh. Dalam pukul 3 ke 4 pagi…tanpa fikir saya terus ambil paracetamol yang sepapan ada 10 biji tu. Saya hancurkan 10 biji pil tersebut dan minum dengan coke.

“Lepas dah telan semua, saya menangis call mak ayah dan minta maaf dekat mereka dalam keadaan sedih dan tertekan. Saya tak sedar apa yang berlaku lepas tu dan tahu-tahu saja, saya terbangun pukul 8 pagi.

“Bermula dari saat terjaga pagi itulah yang menjadi turning point untuk saya berfikir semula kesilapan yang dah saya buat,” jelas Norman.

IKLAN

Beberapa detik selepas mulai bangkit dari lena, Norman menjelaskan dia mulai sedar akan khilaf dan sejak itulah dia mulai lebih mendekatkan diri dengan ilmu agama.

“Kebetulan pagi tu cuaca sangat hening. Waktu tu saya hilang keluarga, saya bercerai, saya rindu anak-anak…macam-macam. Tapi itulah sebenarnya turning point yang membuatkan saya segera bangkit untuk hidup.

“Mungkin Allah panjangkan umur saya sebab Dia nak tunjuk yang kalau kita ada masalah, ada orang lain yang hadapi masalah lebih besar.

“Start dari situ saya beli buku keagamaan berkaitan solat-solat sunat. Sebelum ni pun memang tahu tentang solat-solat sunat ni tapi tak pernah hendak pergi belajar secara mendalam.

“Lepas beli dan baca buku ini, saya buat dan cuba istiqamah. Saya ingat lagi masa tu dalam penghujung tahun 2008.

“Salah seorang yang menyedari keadaan saya waktu itu ialah Datuk Dr Fadzilah Kamsah. Dia tepuk bahu saya dan cakap, “Norman, awak teruk ni.” Beliau jugalah yang meminta saya berjumpa dengan gurunya. Bulan 5 tahun 2009, saya pergi berjumpa dengan Ustaz Shahrom.

IKLAN

“Dari situ saya belajar satu persatu, saya istiqamah dan sebagainya. Saya juga mula jaga kesihatan dan fitness,” kongsi Norman panjang lebar.

Pada masa sama, dia turut merakamkan rasa syukur kerana silaturrahim bersama bekas isteri masih kekal utuh.

“Saya ambil iktibar atas kelemahan saya dalam rumah tangga dulu dan bersyukur kerana Allah pilih dan satukan kami. Walaupun bukan lagi sebagai suami isteri tapi saya, Memey dan Abby saling menyayangi satu sama lain. Ilaahi Taala.

“Saya bahagia dapat isteri dan bekas isteri yang juga ibu kepada anak-anak yang saling menyayangi untuk sama-sama membesarkan mereka.

“Nak dapat apa yang dihajati ini bukan hanya amalkan dalam setahun dua dah boleh nampak hasilnya. Kena ambil masa dan istiqamah.

IKLAN

“Contohnya bagi saya, saya akan bangun pagi bertahajud, berserah kepada Allah Taala dan paling penting sekali, kita buat solat sunat taubat. Minta ampun kepada Allah atas dosa yang telah kita buat selama ini sebab kita manusia tak lari dari khilaf.

“Keduanya lepas taubat, kita buat solat tahajud dan kita buat solat hajat untuk kita meminta kepadaNya. Sebab memang dah sebut dalam hadis, waktu tahajud apabila minta kepada Allah Taala ibarat kita memanah dengan keadaan yang tepat.

“Jadi kita kena istiqamah. Pada saya, itu adalah terapi spiritual yang sangat membantu. Kita Islam, ini adalah cara kita. Inshaallah, setiap tindakan, perlakuan, perkataan yang keluar dari mulut kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah… Allah akan ‘kawal’ kita. Segala-galanya pada atas. InshaAllah, percaya dan perbaiki diri kita setiap tahun,” ujarnya optimis.

Malah, dia turut mengakui mempelajari dan membaca ayat suci al-Quran sedikit demi sedikit dan seterusnya dikongsi bersama ahli keluarga yang lain.

“Dulu saya nak baca sepotong ayat pun rasa begitu berat. Tapi alhamdulillah, daripada sepotong ayat dapat baca hingga empat ayat, daripada hanya satu halaman sehari setiap pagi… sekarang dapat baca sampai empat halaman Al-Quran.

“Jadi, dari apa yang saya dapat daripada bacaan Al-Quran itulah saya kongsikan kepada isteri dan kemudian dia akan turunkan kepada anak-anak pula. Kita kena istiqamah,” akhirinya.

Norman berkahwin dengan Abby pada tahun 2002 dan bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan mereka, Norman dan Abby dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim.

Foto: Instagram Norman Hakim

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI