
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, pernah membuat keputusan untuk berehat daripada bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL).
Namun, dia kini mengakui langkah tersebut disiafatkan sebagai satu tindakan yang mementingkan diri sendiri.
Menurut Aina, keputusan tersebut tidak sepatutnya dibuat kerana masih ramai yang percaya terhadap bakat serta karya seninya.

“Sebelum ini, mungkin saya pernah bercakap yang saya ingin berehat seketika daripada bertanding di AJL. Namun, bila difikirkan semula, itu adalah pemikiran yang sangat mementingkan diri sendiri.
“Kenapalah saya terfikir untuk berhenti? Siapa saya nak buat keputusan seperti itu? Saya masih ada perjalanan yang jauh untuk ditempuhi.
“Ada banyak lagi lagu yang akan dilancarkan. Banyak lagi perkara yang harus saya buktikan kepada diri sendiri. Saya bukan kena buktikan kepada netizen. Ada banyak lagi hal-hal di dalam diri yang perlu saya usahakan,” katanya kepada MH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-40, baru-baru ini.
Kembali Bertanding Demi Kepuasan
Bakal kembali beraksi di pentas berprestij itu buat kali ketujuh, Aina menegaskan matlamatnya bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya lebih kepada kepuasan dalam berkarya.

“Alhamdulillah, ini bakal menjadi tahun ketujuh saya bertanding di AJL. Ada kalanya, kita bukan sentiasa mengejar kemenangan. Jika anda tanya saya secara peribadi, saya hanya ingin mahu mencari kepuasan berkarya.
“Saya seorang anak seni yang sentiasa menghidupkan segala rasa yang muncul di hati saya. Saya tak nak rasa itu mati.
“Saya tak nak semangat menjadi anak seni, keluarkan lagu atau nak pakai baju yang bagaimana itu pudar. Ini adalah perasaan yang perlu kita hargai.
“Kalau rasa itu datang, kita kena layan perasaan itu. Sebab itu saya masih lagu mahu lakukan perkara ini lagi,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Aina meluahkan rasa syukur apabila lagu Kamu berjaya mara ke pentas akhir AJL40, meskipun persembahannya di peringkat separuh akhir berdepan beberapa masalah teknikal.

“Alhamdulillah, ini rezeki Allah, ibu dan semua pihak yang sentiasa menolak saya untuk tidak berputus asa.
“Walaupun saya selalu dapat peluang bertanding di AJL, namun cabarannya akan sentiasa datang dari tempat yang lain.
“Pada saya, jika kita selalu bertanding di AJL, ia tidak menjanjikan apa-apa. Saya sandiri menjadi blueprint kepada perkara ini.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya juga pernah mencuba banyak kali. Walaupun sudah berdepan dengan pelbagai cabaran, saya tetap merasakan AJL merupakan pentas yang penting untuk anak seni,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai perancangan persembahan untuk pentas akhir nanti, Aina memaklumkan beliau masih belum mempunyai idea yang jelas dan memerlukan masa untuk mencari inspirasi.

“Saya belum ada bayangan persembahan lagi. Idea tidak akan datang semudah-mudahnya. Mungkin saya perlu pergi mengembara atau ‘bertapa di hutan’ untuk dapatkan idea.
“Apapun, saya sangat gembira apabila orang memberikan penghargaan kepada lagu Kamu. Ini adalah antara karya yang saya banggakan di dalam album Imagi,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

Kembali Bertanding Demi Kepuasan
