Penyanyi Tom mengakui dia bersyukur dan rasa terharu apabila terpilih untuk berada di dalam barisan 13 bintang Gegar Vaganza ke-9 (GV9).

Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram, 36, berkata, dia pada awalnya tidak menyangka berpeluang untuk menyertai program nyanyian realiti popular itu.

Lama menyepi daripada industri seni, Tom sebelum ini mencari sumber pendapatan sebagai penyanyi di kelab Malam.

Kemudian, ibu tunggal kepada tiga anak ini aktif ‘busking’ sekitar Langkawi selepas kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ya Allah tak percaya, saya dapat (sertai) GV. Bila dapat tahu, saya menangis. Sebabnya rasa seolah-olah tak layak untuk masuk.

“Tapi Allah berikan saya peluang. Saya bukanlah orang yang baik. Cuma bila PKP, saya banyak insafi diri.

“Malah bila kelab malam sudah dibuka beroperasi, saya sebolehnya tidak mahu menyanyi di situ lagi, melainkan ada jemputan.

IKLAN

“Kalau diberi peluang, saya mahukan sesuatu yang lebih baik untuk anak-anak. Nak ubah hidup. Hanya saya yang boleh ubah. Kalau saya jatuh, sama juga dengan mereka.

“Anak-anak ‘berdiri’ atas kaki saya, mereka tiada siapa-siapa. Anak-anak kekuatan saya,” kata Tom yang kini menjaga dua permata hatinya.

Ditanya sejauh mata kesungguhannya dalam mencari rezeki sebagai penyanyi jalanan, Tom tidak menafikan awalnya timbul rasa malu.

“Lama kelamaan saya ‘enjoy’ buat ‘busking’. Mahu tidak mahu saya perlu kerja untuk menyara anak-anak. Perasaan malu itu hilang.

IKLAN

“Saya pernah dapat RM6 dibahagi kepada dua orang. Ia ketika kali pertama saya belajar nak buat ‘busking’.

“Namun saya bertuah kerana ada kenalan yang menawarkan kami untuk menghiburkan tetamu di restoran berdekatan hotel. Bolehlah jana pendapatan juga,” katanya lagi.

Sementara itu, 13 penyanyi bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini yang terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, enam penyanyi solo wanita dan satu penyertaan berkumpulan.

Selain Tom, lima bintang solo wanita yang memberi saingan kali ini ialah Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan, Shila Amzah dan Jaclyn Victor. 

IKLAN

Sementara itu, senarai penyanyi solo lelaki yang turut menyahut cabaran musim ini ialah Roy Kapilla, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Tomok dan Asheed.

Bagi penyanyi berkumpulan pula diwakili oleh VE yang dianggotai oleh Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Konsert mingguan GV9 akan mula bersiaran secara langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam selama 10 minggu pada setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 18 September ini dan dipancarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Juara GV9 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI