Impian peminat untuk melihat penyanyi yang juga merupakan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat kembali aktif dipersada seni akhirnya tercapai apabila beliau baru sahaja melancarkan single terbaru, yang berjudul Persis Salju.

Jelas Syafinaz, dia mengakui kesibukkan tugas sebagai seorang pendidik sedikit sebanyak membuatkan dirinya terpaksa menangguhkan hasrat untuk melancarkan lagu yang telah tertunda hampir 20 tahun.

Katanya lagi, lagu Persis Salju ini sebenarnya telah dirakam pada tahun 2011 dan disimpan sehingga kini.

“Saya agak cerewet dengan cara kerja saya. Apabila saya buat sesuatu dan orang lain beri kepercayaan kepada saya, saya akan laksanakannya dengan sepenuh hati.

“Bila saya bekerja sama ada sebagai penyanyi atau perkara lain dalam bidang seni, kadang-kadang saya jadi lupa tentang apa yang harus saya buat untuk diri sendiri.

IKLAN

“Jadi, sejak 2 tahun lepas, saya mula fikirkan saya kena buat sesuatu untuk diri saya. Kepuasan sebagai pendidik dan seorang yang berdiri di atas pentas adalah berbeza,” katanya kepada MH.

Syafinaz berkata sedemikian sewaktu ditemui di majlis sidang media lagu Persis Salju di Hotel Westin, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Syafinaz turut menjelaskan dia tidak berasa hati seandainya dia kini semakin dilupakan terutamanya buat para generasi baru.

IKLAN

“Bila dah lama saya tidak berada di atas pentas menyanyikan lagu sendiri, saya mula rasa rindu.

“Ada segelintir pihak dah lupa yang saya ni penyanyi. Orang hanya ingat saya sebagai guru vokal sahaja.

“Saya juga ada dengar kawan-kawan saya di institut pengajian tinggi cerita yang ramai anak muda hanya ingat saya sebagai seorang guru dan bukan penyanyi sebenar.

IKLAN

“Saya pula banyak menyanyi untuk majlis-majlis tertutup. Jadi inilah masanya untuk saya mengubati kerinduan para peminat,” jelasnya lagi.

Syafinaz turut menambah, penularan wabak Covid-19 serta perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun yang lalu juga menjadi faktor mengapa projek ini tertangguh.

“Saya tidak menafikan, kadang kala rasa malu apabila kerap berjanji tahun demi tahun. Single Persis Salju umpama membayar janji saya kepada peminat,” katanya lagi.