
Dilihat mempunyai hubungan yang akrab lebih-lebih lagi selepas bergandingan di dalam drama, Pabila Dia Tersenyum, pelakon Alya Iman mendedahkan hubungannya bersama rakan pelakon, Amir Ahnaf tidak lebih daripada teman rapat.
Menurut Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, dia dan Amir sudah berkawan agak lama dan mungkin disebabkan itu, mereka dilihat sangat selesa bersama.
“Kami sudah berkawan hampir tiga tahun. Sebelum ini pun saya pernah bekerjasama dengan Amir.
“Di sini, saya ingin beri kenyataan bahawa saya dan Amir hanyalah sekadar kawan rapat sahaja. Tidak lebih daripada itu,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara tayangan perdana episod akhir ‘Pabila Dia Tersenyum’ di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Puji Keperibadian Amir Ahnaf
Katanya lagi, Amir seorang hero yang sangat bagus dan sentiasa membantu rakan pelakon untuk memberikan kualiti lakonan terbaik.
“Amir seorang pelakon yang sangat berbeza. Dia akan sentiasa berkongsi energi dan idea. Jika kita berlakon dengan orang lain, ada kalanya kita sekadar berlakon sahaja.
“Dia bantu lakonan saya nampak senyata yang mungkin. Seperti babak terakhir di dalam drama ini, ia sangat berat untuk kami berdua. Namun, disebabkan energi Amir, kita boleh jayakannya,” ujarnya.
Mengulas mengenai harapan peminat yang mahu melihat mereka bersama di dunia sebenar, Alya menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.
“Saya terima banyak komen yang mengatakan kami sangat sepadan dan mereka mahu lihat kami bersama. Pada saya, buat masa ini, kami lebih selesa berkawan.
“Pada masa hadapan, kita tidak tahu lagi. Jodoh di tangan tuhan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Alya turut menafikan momen-momen akrab yang dipaparkan di media sosial hanyalah sekadar publisiti untuk untuk mempromosikan drama.
“Sebelum ini, kami selalu buat konten bersama di media sosial. Salah satu sebabnya kerana kami selesa bersama. Tiada niat pun nak cari publisiti murahan.
“Itu hanyalah sekadar momen yang kami enjoy bersama dan kongsikan di media sosial. Tak memberi kesan kepada sesiapa pun,” akhirnya.
Terdahulu, selepas tayangan 15 episod, drama ‘Pabila Di Tersenyum’ kini telah pun melabuhkan tirainya.
Selain Alya dan Amir, drama terbitan Viu Original ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Adam Lee, Rushdi Ramli, Marissa Yasmin, Iqram Dinzly dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI