Pelakon dan ahli perniagaan, Syanie Hisham, kini memilih untuk bertudung mengenakan tudung, serentak pada hari pernikahannya dengan Zahril Hafiz Mohammed Nor pada 19 Februari lalu.

Syanie, 47, berkata keputusan tersebut sebenarnya sudah disuarakan kepada suaminya sejak tahun lalu.

“Saya memang ada berkongsi dengan suami (ketika itu masih berstatus tunang) mengenai keputusan nak bertudung. Dia ada bertanya bila nak ke arah itu.  Saya bagaimanapun menjawab belum pasti lagi bila.

“Cuma saya ada beri bayangan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan. Dia pun paling suka dengan apa yang saya bakal lakukan.

“Tanpa bercakap panjang, dia hanya tunduk bersetuju. Alhamdulillah, saya kotakan perkara itu saat kami diijabkabulkan,” katanya.

IKLAN

Dia dan suaminya mengikat tali pertunangan Ogos tahun lalu.

Tambah peserta program Masterchef Selebriti musim kedua itu lagi, dia tekad berbuat demikian bagi menjaga batas dan maruah suaminya.

“Apa jua keputusan saya lakukan, dia tetap menyokong,” katanya.

IKLAN

Dalam perkembangan lain, Syanie menjelaskan, imejnya itu tidak menjadi masalah untuk filem Hantu Kuat Ketawa yang bakal dilakonkannya tidak lama lagi.

“Secara kebetulan dan bagai dipermudahkan, filem kedua arahan Mawi yang menggandingkan saya dengan Saiful Apek itu memang watak bertudung.

IKLAN

“Jadi, saya ‘on’ saja. Insya-Allah penggambaran filem itu akan bermula 27 Februari ini. Saya sendiri teruja kerana filem komedi seram itu akan mengimbas kembali kenangan berlakon dengan Saiful Apek suatu ketika dahulu.

“Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, saya sebenarnya terlalu rindu untuk kembali beraksi dengan Saiful Apek. Terima kasih Mawi kerana kembali menyatukan kami,” katanya.

Syanie melangsungkan pernikahan buat kali ketiga dan kini bahagia bersama perunding kewangan berusia 41 tahun dan berstatus duda tanpa anak itu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) .

Majlis tersebut berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI