
Pelakon popular Nora Danish menafikan dakwaan yang mengatakan dia bakal kembali rujuk dengan bekas suaminya, Nedim Nazri, 42.
Menurut Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 43, spekulasi tersebut mungkin timbul disebabkan keakraban antara mereka yang masih terjalin meskipun sudah tidak bergelar suami isteri.
“Saya baru dengar cerita ini hari ini. Mungkin keakraban kami yang buatkan orang keliru atau salah faham.
“Dia memang betul-betul ‘soulmate’ saya. Setakat ini, kami memang tak boleh bersama tapi kami saling faham sesama sendiri,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Amber Oasis Abaya Collection di Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Selesa Jalin Hubungan Baik
Nora turut menegaskan, tidak wujud sebarang perancangan untuk mereka kembali bersama buat masa ini.
Sebaliknya, dia lebih selesa mengekalkan hubungan yang harmoni dengan Nedim, mengambil kira pengalaman hidup berumah tangga bersama selama lebih sedekad.
“Situasi kami adalah pernah hidup bersama dan memahami sesama sendiri dan itu sahaja, tidak lebih dari itu.
“Untuk dakwaan saya akan rujuk dengan bekas suami saya itu, saya sangkal dakwaan tersebut. Memang tiada langsung ura-ura rujuk, cuma kami selesa dengan keadaan hubungan kami ini,” tambahnya.
Masih Dalam Fasa Mengenal Diri
Mengulas soal jodoh, Nora tidak menolak kemungkinan untuk berkahwin semula pada masa akan datang.
Namun buat masa ini dia lebih fokus terhadap diri sendiri dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Saya memang dalam fasa untuk mengenali diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Dalam fasa itu, memang saya banyak mendekati juga golongan ustaz, habib, maulana untuk saya mengisi ruang hati saya yang kosong ini.
“Kalau ada yang mahu mendekati saya untuk berkahwin, memang ada. Cuma saya ada letakkan batasan bahawa saya masih belum bersedia untuk berkahwin.
“Fokus saya sekarang ini adalah untuk mengenali diri saya sahaja. Kalau Allah berikan saya jodoh, saya tak mahu terburu-buru dalam mengejar perkahwinan seterusnya hanya kerana saya sunyi,” katanya lagi.
Untuk rekod, Nora dan Nedim Mohamad Nazri bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, yang kini berusia enam tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum mereka berpisah pada tahun 2008.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI