
Penganjuran Makar Fest bukan sekadar sebuah karnival makanan dan gaya hidup, sebaliknya menjadi platform untuk menghargai ikon muzik tanah air.
Menjawab dakwaan kononnya festival ini bersifat memilih artis, pengarah acara Issey Fazlisham menjelaskan pemilihan barisan artis dibuat berdasarkan kesesuaian konsep dan tema acara.
“Makar Fest bukan hanya karnival makanan tetapi juga gaya hidup termasuk fesyen dan hobi, jadi kami berbesar hati apabila legend seperti Datuk Awie bersetuju tampil membuat persembahan.
“Seperti yang kita ketahui beliau juga mempunyai hobi menunggang motosikal berkuasa besar selain penampilan yang sentiasa bergaya di pentas.
“Sama juga ketika Makar Fest lalu apabila kita menampilkan Sifu Datuk M. Nasir yang juga stylo selain seorang daripada ikon muzik negara kita,” katanya.
Pada Malam Muzikal Makar, Datuk Awie menghiburkan para pengunjung dengan lebih empat buah lagu termasuk Sejati, Sayap Ilusi dan Di Penjara Janji.
Buka Peluang Kepada Semua Artis
Issey turut memaklumkan, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai artis, sama ada mereka terdiri daripada bakat baharu mahupun yang lebih senior selagi bersesuaian dengan konsep dan permintaan khalayak.
Terdahulu, dalam edisi kali ini yang berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dari 1 hingga 3 Mei lalu, antara artis yang membuat persembahan ialah Amir Masdi, penyanyi popular Azman Kulit, serta beberapa nama lain yang dibawakan oleh penaja seperti Yaya Empire.
“Kami membuka peluang kepada semua asalkan kena dengan suasana serta keadaan dan Insya-Allah Makar Fest juga bukan hanya terhad di Pantai Timur tapi kita akan bawa ke negeri lain juga,” katanya lagi.
Issey juga turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan acara tersebut, termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, rakan penaja, vendor, artis dan seluruh pasukannya.
Sambutan Mega, Terima Kasih Terengganu!
Dengan kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, Makar Fest 2.0 membuktikan sambutan masyarakat yang luar biasa terhadap acara sebegini.
Antara penyumbang utama kejayaan itu termasuk sesi Dialog Anak Muda bersama Ustaz Azhar Idrus yang berlangsung pada malam pertama, yang turut menjadi tumpuan ramai.
“Saya terharu dan berterima kasih, sebenarnya tidak sangka sambutan luar biasa sejak hari pertama, terima kasih kepada semua warga Terengganu yang menyambut baik kehadiran kami.
“Saya juga perlu berterima kasih kepada Ustaz Azhar Idrus, Datuk Awie, Kerajaan Negeri Terengganu dan semua artis serta selebriti yang hadir.
“Begitu juga pasukan saya, rakan penaja, vendor dan semua yang terlibat menjayakan dan menyokong Makar Fest 2.0,” ujar Issey.
Buat masa ini, lokasi Makar Fest seterusnya masih dalam perbincangan dan pengumuman rasmi akan dibuat menerusi media sosial rasmi karnival tersebut.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI