Satu perjuangan yang harus dicontohi apabila personaliti hebat dalam dunia keusahawanan, Datuk Faridah Hanim Haron bernekad bantu ramai usahawan yang terjejas kerana pandemik COVID-19.

Walaupun masih sakit di bahagian tulang belakang, leher dan beberapa bahagian dalaman tubuh akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, beliau masih bersemangat waja dalam meneruskan azam murni.

Faridah Hanim yang lebih mesra dipanggil Ibu Hanim ini, tidak melihat kesakitan yang dialami sebagai penghalang untuk melihat usahawan-usahawan  muda terus mencapai kejayaan.

“Kebanyakan usahawan di negara kita boleh bertahan hanya lima tahun. Peranan ibu adalah untuk menurunkan ilmu kepada para usahawan agar lebih bertahan lama dalam bisnes yang diusahakan. 

“Ibu sendiri berpengalaman bekerjasama dengan beratus-ratus syarikat untuk membantu mereka, supaya lebih bertahan lama.

“Jadi, dalam keadaan negara kita diserang pandemik COVID-19, Ibu rasa seperti Ibu membiarkan anak-anak (usahawan) ‘lemas’.

“Jadi, ibu sanggup terlibat dalam program televisyen yang berkaitan usahawan. Itu salah satu langkah untuk ibu berdakwah dalam masa yang sama membantu mereka untuk terus bangkit,” katanya.

Beliau turut sama terlibat dalam program televisyen realiti usahawan iaitu Legasi Perwira 2021 dan di dalam program berkenaan, Ibu Hanim mencurahkan banyak ilmu keusahawanan kepada para usahawan yang terlibat.

Antaranya ialah Leyna, De’Xandara, By Chefiza, Andorra Hospital, NFF Boutique Gallery dan Jamu Tun Teja.

“Bukan mudah untuk menyiapkan program ini, tapi semua itu dianggap Ibu anggap sebagai satu perjuangan. Ibu lawan sakit, lawan penat untuk menghasilkan program ini. 

“Ibu sangat ingin menjayakan program ini kerana Ibu mahu lebih ramai lagi di seluruh Malaysia untuk tahu apa sebenarnya perjuangan kita (dalam bidang keusahawanan). 

“Bagi ibu, kuntungan yang dibuat bukan hanya mencecah jutaan ringgit, tetapi perlu puluhan juta,” ujarnya yang menekankan pengisian program ini boleh menjadi inspirasi buat semua usahawan besar atau pun kecil.

Pelbagai petua atau tip dalam keusahawanan yang akan dikongsi oleh Ibu Hanim dalam program Legasi Perwira 2021.

Program Legasi Perwira merupakan sebuah program realiti usahawan yang memaparkan pendekatan Ibu Hanim dalam mendidik usahawan agar terus maju dan berkembang. 

Dengan tagline Usahawan Nadi Negara, program ini akan menampilkan enam usahawan dari industri berbeza untuk berkongsi kisah inspirasi dan jatuh bangun mereka sebelum dan ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Semuanya dirungkai dalam program Legasi Perwira terbitan Annems Leadership Solutions dengan kerjasama District L.E Production.

Untuk itu, jangan lupa tonton Legasi Perwira yang disiarkan di TV AlHijrah setiap Jumaat, pukul 9 malam bermula 8 Januari lalu.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI