Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi tokoh apabila komposer dan pemuzik terkenal, Ross Ariffin, yang dilaporkan meninggal dunia petang semalam pada usia 63 tahun di Hospital Kajang, Selangor.
Berita pemergian Allahyarham disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menerima makluman daripada pihak Rumah Seri Kenangan, tempat komposer tersebut menetap sejak November tahun lalu.
“Saya sangat berdukacita menerima khabar pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi,” kata Fahmi yang berkongsi perkara itu menerusi ciapan di platform X pada malam 2 Ogos 2025.
“Uncle Ross merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan,” tambahnya.
Ads
Saya sangat berdukacita menerima khabar pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi.
Berita tersebut disampaikan oleh pihak Rumah Seri Kenangan Cheras yang menjadi tempat tinggal Allahyarham sejak November tahun lalu.
Fahmi yang pernah beberapa kali menemui Allahyarham turut mengakui mengagumi ketabahannya. “Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni,” katanya lagi.
Ads
Ross Ariffin atau nama penuhnya Roslan Ariffin Jamil mula mencipta nama pada era 1990-an sebagai komposer dan penyusun muzik prolifik, menghasilkan pelbagai lagu popular untuk penyanyi ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Ning Baizura dan Jaclyn Victor.
Antara lagu popular ciptaan allahyarham ialah Dia nyanyian Fauziah Latiff, Kemaafan Dendam Yang Teindah nyanyian Aishah serta Kau dan Aku nyanyian Ning Baizura yang memenangi Anugerah Juara Lagu bagi kategori Pop Rock pada 1995.
Ads
Sentuhan muziknya terkenal dengan gabungan melodi komersial yang indah bersama susunan orkestra yang memukau.
Selain berkarya di tanah air, Allahyarham difahamkan pernah berkhidmat bersama Orkestra di Kota London, sebuah pengalaman yang membentuk identiti muziknya dan memberi warna berbeza kepada ciptaannya.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Program realiti Kilauan Emas 2025 (KE 2025) kembali mengisi sajian hiburan di kaca televisyen dengan musim terbaharu selepas mencetuskan impak luar biasa pada tahun lalu.
Kembali dengan semangat baharu dengan standard lebih tinggi, musim ini menyaksikan pemilihan 12 peserta terbaik dari seluruh negara selepas melalui beberapa sesi uji bakat yang mencabar.
Pengalaman dalam seni suara, kualiti vokal, keunikan persembahan serta keghairahan mereka terhadap muzik menjadikan pentas KE 2025 sebagai ruang ideal untuk menyerlahkan bakat sebenar.
Walaupun bukan artis profesional, hakikatnya empat peserta KE 2024 ini iaitu Ben, Nawary, Kinar & Ezan memiliki pengalaman luas dalam dunia seni suara, ada yang mencecah lebih tiga dekad.
Berbekalkan semangat kental, mereka kini bersedia memberikan persembahan terbaik, positif bersaing seterusnya cuba menambat hati juri!
Sebagai peserta paling berusia, Benjamin Amilkasan atau lebih mesra dikenali sebagai Ben, 63, sudah bersedia mencurahkan pengalaman lebih empat dekad sebagai penyanyi di pentas KE 2025.
Berasal dari Sabah, Ben aktif membuat persembahan bersama kumpulan muziknya, Signature Band.
“Impian untuk menyertai program ini sudah menjadi cita-cita saya. Bila terpilih sebagai 12 peserta terbaik, ini ibarat impian jadi kenyataan.
“Saya berkecimpung dalam bidang muzik sejak tahun 1982 dan kini sudah hampir 43 tahun. Dari Tawau, saya merantau ke Kota Kinabalu demi muzik.
“Kini, saya mahu memenuhi impian anak-anak untuk melihat saya muncul di kaca televisyen. Mereka memberikan galakan baik untuk bersaing di program ini.
“Kalah menang tak mengapa. Itu semua adat pertandingan. Saya bersedia untuk melalui segala cabaran yang mendatang,” katanya.
Pernah menyinar dalam program realiti Suara 90’s Nescafe, Nawary Abd Rani bukan nama asing dalam dunia seni.
Anak jati Kangar, Perlis ini pernah menduduki tempat ketiga dalam pertandingan tersebut dan kini kembali untuk menghangatkan pentas KE 2025.
“Dahulu, saya aktif menyanyi. Bila sudah lama tinggalkan dunia nyanyian, saya mahu jadikan Kilauan Emas ini sebagai platform untuk bangkit semula.
“Mungkin masyarakat boleh ingat kembali siapa saya. Saya mula menyanyi sejak umur tujuh tahun namun hanya mula bergiat aktif pada tahun 1992 sebagai penyanyi di hotel dan kelab malam.
“Tercalon di Top 12 pun saya sudah bersyukur tapi kalau boleh, saya nak melangkah lebih jauh. Saya akan cuba yang terbaik.
“Kini, saya hanya mahu kuatkan mental dan jaga kesihatan. Pengalaman sewaktu aktif menyanyi mungkin akan beri sedikit kelebihan buat saya.
“Saya sudah biasa berjauhan dengan keluarga. Walaupun rasanya berat, demi cinta dalam bidang seni, saya teruskan juga,” kongsinya.
Selepas hampir 35 tahun dalam dunia nyanyian, Ayekinar Kassim atau Kinar, peserta dari Lahad Datu, Sabah, menjadikan KE 2025 sebagai ‘penutup tirai’ kepada karier seninya yang panjang.
Pemandu bas ini pernah aktif membuat persembahan di hotel dan kelab malam sebelum berehat 10 tahun dari dunia nyanyian.
“Saya sertai KE 2025 untuk memberikan pengakhiran yang baik buat kerjaya saya sebagai penyanyi selama 35 tahun. Sebelum ini, saya bekerja sebagai penghibur di hotel-hotel dan kelab malam.
“Bila sudah berhenti hampir 10 tahun, kini saya nak buat yang terbaik dalam kerjaya dan mencipta pengakhiran yang indah selain mencari kawan baru.
“Saya sudah bersedia untuk berikan 100% untuk program ini. Saya juga tak sabar untuk mendapat bimbingan dan belajar teknik nyanyian daripada guru profesional,” katanya.
Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, Alizan Jamaluddin atau Ezan, 52, pula ialah seorang peniaga nasi lemak yang akhirnya menemui keberanian untuk mengejar impiannya dalam bidang nyanyian.
Mahu cabar ini dalam membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi, Ezan kini tanam azam untuk meneruskan minat dalam bidang seni suara.
“Saya mahu terus mengembangkan lagi minat menyanyi memandangkan sebelum ini, saya hanya pendamkannya sahaja.
“Cuma sekarang baru terdetik di hati untuk kembangkan ke ruang lingkup yang lebih besar, Insya-Allah.
“Saya mula menyanyi pada usia lima tahun. Arwah abah selalu bawa saya ke kenduri kahwin. Saya betul-betul serius menyanyi hanya selepas tamat SPM.
“Saya banyak buat persembahan di majlis rasmi dan juga acara makan malam. Pengalaman yang ada rasanya masih belum mencukupi.
“Jadi saya menyertai KE 2025 ini untuk belajar sesuatu daripada guru vokal dan guru tarian. Saya nak kejar ilmu itu.
“Walaupun agak sedih sebab terpaksa berjauhan dengan anak-anak, tapi saya melihatnya daripada sudut positif. Ini minat saya,” katanya.
Terdahulu, KE2025 bakal membuka tirai menerusi konsert minggu pertama pada 16 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Prima atau strim secara fleksibel di Astro Go dan sooka.
Sementara itu, selebriti popular, Elly Mazlein diberikan tanggungjawab selaku hos utama dan akan bergandingan bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.
Malah, KE2025 turut mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) telah mengumumkan senarai lima finalis bagi 26 kategori yang dipertandingkan. Lebih mengujakan, pemenang bagi 11 kategori bakal menerima ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).
Pengerusi RIM merangkap Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim berkata, seramai 130 finalis telah terpilih bagi 26 kategori anugerah yang membariskan senarai Top 5.
“Pemilihan semua 5 finalis ini telah dibuat oleh sejumlah juri profesional yang bersidang baru-baru ini dan keseluruhan permarkahan juri telah diaudit oleh firma pengauditan bertauliah, Mazars.
“Proses penjurian pula diurus tadbir oleh badan bebas iaitu Macomm Management Services Sdn. Bhd.
“Barisan juri yang dilantik telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, dedikasi dan telus.
“Hasilnya, kita telah memperoleh senarai lima terbaik bagi 26 kategori AIM24 seperti mana pengumuman pada hari ini.
“Saya cukup teruja melihat senarai lima finalis ini kerana ia merangkumi bakat-bakat baru yang sedang menyinar selain artis-artis ternama yang telah lama menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.
“Dengan dana sumbangan Kementerian Komunikasi melalui dana MyCV pula, 11 pemenang AIM24 kelak tentunya akan mampu menghasilkan lebih banyak kandungan muzik berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan mahupun luar negara.
“Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000.
Manakala kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ‘Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu,” katanya.
Sebelum ini, RIM menerima 682 pencalonan berdasarkan karya muzik yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Penjurian fasa pertama AIM24 untuk kategori ‘Rakaman Lagu Terbaik’ dan ‘Rakaman Album Terbaik’ berlangsung di Timeless Studio pada 14 dan 15 Julai 2025, disusuli kategori lain di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Julai 2025. Penjurian kategori ‘Lagu Terbaik’ pula diadakan di Timeless Studio pada 29 Julai 2025.
Panel juri terdiri daripada pengamal industri muzik tempatan berkelayakan dan berpengalaman luas, diketuai Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.
Malam kemuncak AIM24 akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu, 13 September 2025, jam 9 malam. Acara karpet merah bermula jam 8 malam dan disiarkan secara langsung oleh RTM menerusi TV2 dan RTM Klik.
Secara keseluruhan, AIM24 mempertandingkan 30 kategori termasuk empat kategori baharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ serta ‘Kugiran Terbaik’.
Enam kategori akan diumumkan pada Majlis Pra-Anugerah, 12 September 2025, iaitu ‘Kulit Single/Album Terbaik’, ‘Rakaman Album Terbaik’, ‘Rakaman Lagu Terbaik’, ‘Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu’, ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ serta ‘Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube’.
Sebagai rekod, AIM mula dianjurkan di Malaysia pada 1993 yang menyaksikan “Dekat Padamu” (Ning Baizura) dinobatkan sebagai ‘Album Terbaik’ manakala “Satu” (Tan Sri SM Salim & Datuk Zainalabidin) memenangi ‘Lagu Terbaik’.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Sophia Albarakbah bakal bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu hadapan susulan laporan polis yang dibuatnya berhubung kes buli siber dan gangguan seksual, baru-baru ini.
Menurut Sophia, dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai laporan tersebut kerana siasatan masih berjalan.
“Selepas saya membuat laporan polis, kini saya sedang menantikan jawapan daripada pihak SKMM.
“Jika ada perkembangan selanjutnya, saya akan maklumkan kepada pihak media. Berkemungkinan saya akan ke pejabat SKMM pada minggu hadapan,” katanya kepada MH.
Sophia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikan duta baharu Amber di Shangri-La, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Pelakon filem Saka Perawan itu berharap kes yang dihadapinya menjadi pengajaran, terutama buat rakan artis yang sekian lama menjadi mangsa buli.
“Ketika ini, saya berasa agak lega. Saya buat laporan polis bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga buat semua orang yang melalui situasi sama, terutamanya rakan-rakan artis yang kerap menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
“Selain itu, saya juga mahu lantang bersuara dalam hal seperti ini. Ada segelintir pihak yang tidak berani nak melawan atau malas nak memperbesarkan isu ini.
“Pada saya, buli siber dan gangguan seksual ini tidak patut dinormalisasikan. Ada yang kata, ini lumrah kehidupan selebriti. Mereka salah.
“Segala bentuk buli adalah tidak normal dan tak patut ambil ringan. Lihat sahaja negara Korea Selatan, kes bunuh diri disebabkan menjadi mangsa buli sangat tinggi,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dia telah menerima permohonan maaf daripada mana-mana pihak, Sophia mengakui belum mempunyai kekuatan untuk membuka mesej di media sosial.
“Kejadian buli siber ini memang memberi kesan dari segi emosi dan mental sehingga saya jadi takut nak buka mana-mana platform media sosial.
“Mungkin ada yang sudah DM untuk memohon maaf. Namun ketika ini, saya belum baca apa-apa lagi hal seperti itu dan serahkan segalanya kepada peguam,” katanya.
Sophia turut terharu dengan sokongan yang diterima daripada orang ramai dan rakan artis.
“Alhamdulillah, saya ada keluarga dan peminat yang baik. Malah, saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan oleh orang ramai. Ada juga yang memberikan komen-komen positif dan kata-kata yang baik.
“Ada juga rakan-rakan artis yang mesej dan berikan kata-kata semangat. Mereka juga faham apa yang saya lalui.
“Dulu mereka ingat tiada siapa yang akan bersuara untuk isu seperti ini. Kini, mereka tahu ada yang berani melawan,” katanya.
Jumaat lalu, Sophia membuat laporan polis selepas didakwa menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual di media sosial.
Menurut peguamnya, Aizat Azam, komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan, malah mengandungi ugutan seksual secara terbuka terhadap anak guamnya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!