
Susulan isu artis yang ditahan berhubung kes dakwaan amang seksual, penyampai radio dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru mereka yang bergelar figura awam sama ada artis mahu pun ahli politik untuk menjaga kelakuan dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
Menurut Khairy, para figura awam ini harus bertanggungjawab dengan setiap tindak tanduk mereka kerana ia bakal menjadi ikutan ramai.
“Pada saya, bila kita berada di dalam dunia hiburan, suka atau tidak, kita kena menjadi contoh teladan yang baik. Bukan saya nak suruh anda mengidolakan artis tapi ini adalah lumrah.
“Kita akan ada penyokong, peminat dan pengikut tersendiri. Jadi, bila kita bergelar figura awam tidak kisahlah artis mahu pun ahli politik, kita memang kena ada rasa tanggungjawab,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, ini merupakan harga yang perlu dibayar bila kita memilih untuk menjadi orang yang terkenal.
“Untuk menjadi seorang watak yang boleh menjadi contoh, saya tahu hal ini agak susah kerana setiap orang ada kehidupan peribadi sendiri.
“Ini adalah salah satu pengorbanan yang perlu kita buat,” ujarnya lagi.
Khairy atau lebih mesra disapa KJ berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran menu baharu jenama minum, Tealive yang di IOI City Mall, Putrajaya pada Khamis.
Pada majlis ini, Tealive buat pertama kalinya melancarkan rangkaian produk minuman sachet 3 dalam 1 menerusi varian teh susu, kopi dan coklat.
Puji Usaha
Dalam perkembangan lain, KJ turut memuji usaha Tealive untuk bersaing dengan jenama antarabangsa yang sudah lama bertapak di pasaran.
“Saya berbangga bila dapat bersama dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo. Sebuah jenama tempatan yang berjaya bukan sahaja di Malaysia tapi luar negara.
“Sebagai orang yang pernah berada di dalam kerajaan, saya sentiasa menyokong dan mahu melihat produk tempatan berjaya.
“Jika kita melihat pada pasaran minuman teh, kita dibanjiri dengan jenama-jenama antarabangsa. Jika kita tiada semangat nak menyokong produk lokal, syarikat kita tidak akan berjaya.
“Kita nak syarikat seperti Tealive berjaya bukan dengan strategi menjual murah tapi disokong kerana kualitinya. Saya puji Bryan kerana berani memasuki sektor 3-1 yang kebiasaannya dimonopoli oleh jenama antarabangsa,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI