
Pelawak dan pengacara, Zizan Razak berpandangan gandingan antara hos senior dan junior tidak seharusnya menjadi isu.
Sebaliknya, kemahiran serta pengalaman merupakan aspek yang lebih penting bagi memastikan sesebuah program berjalan dengan lancar.
Menurut Zizan, pihak produksi juga memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju hos sepanjang mengendalikan sesebuah program.

“Ini bukan tentang senior atau junior. Segalanya berbalik kepada skil dan pengalaman. Nak bercakap lebih pun saya juga pernah buat silap dan bukan terus pandai.
“Kita pun tak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Jadi, saya tak nak bercakap besar. Ada kalanya kita tersalah cakap. Kita cakap lain, orang fikir lain.
“Pada saya, pihak produksi juga kena berhati-hati. Mereka yang kena main peranan untuk tentukan hala tuju hos,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Polis Evo itu berkata demikian ketika ditemui pada program Meletop, baru-baru ini.
Utamakan Kejayaan Program, Bukan Diri Sendiri
Mengulas lanjut mengenai gandingan hos senior dan junior, Zizan menegaskan kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan meletakkan kejayaan program sebagai keutamaan, bukannya berlumba-lumba untuk menonjolkan diri.

“Kalau kita rasa kita masih baharu dan mentah, kita kena bertanya. Jangan pula buat-buat pandai. Bila anda diberikan peluang untuk bergandingan bersama hos senior dan berpengalaman, belajarlah.
“Yang lama pula, jangan kedekut ilmu. Didik mereka dan beri semangat. Yang penting, jangan ada perasaan dengki. Jangan ada niat nak tenggelamkan orang lain dan bersinar sendiri.
“Kita cuba yang terbaik untuk pastikan program ini berjaya. Bukan jayakan diri sendiri. Itu sikap pentingkan diri sendiri.
“Kalau saya bersikap sebegitu, itu bermakna saya sedang bunuh diri saya. Walaupun kita bersinar, Allah tahu kita ada niat yang tak baik,” kongsinya lagi.
Buat Persiapan Awal Demi Dekati Penonton
Dalam pada itu, Zizan mengakui dia telah membuat persiapan awal bagi memastikan gaya pengacaraannya dapat diterima, selain mewujudkan hubungan yang lebih dekat dengan penonton.

“Saya juga sudah bersedia dari awal tentang sensitiviti orang di Sabah dan Sarawak. Mungkin lawak kita di Kuala Lumpur, mereka tak faham. Jadi, saya kena buat persiapan untuk belajar budaya di Borneo.
“Bila dapat lebih dekat dengan mereka, rasanya lebih bagus. Dalam masa sama, kita juga kena berhati-hati dengan perkongsian di media sosial.
“Itu pentingnya rehearsal. Kalau nak ubah pun, biarlah sedikit sahaja,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Zizan berkata pengalaman yang dilaluinya sepanjang bergelar pengacara menjadikan dirinya sentiasa peka terhadap situasi, selain tidak mahu terlalu dominan ketika bekerja bersama individu lain.
Anda mungkin berminat dengan

“Setakat saya bekerja ini, saya sentiasa sedar diri, ruang dan keadaan. Kalau terlebih cakap, saya akan kawal. Mungkin orang ingat saya ini pelawak, susah nak kawal.
“Saya sudah banyak kali lalui situasi seperti ini. Bila ada yang nak berlakon dengan, mereka takut akan tenggelam. Prinsip saya, bila bekerja, saya tidak akan makan orang. Saya akan seimbangkan kerja kami,” akhirinya.
Terdahulu, Zizan bakal bergandingan bersama selebriti Sherry Alhadad sebagai hos program realiti terbaharu, Borneo Rising.
Borneo Rising bakal bersiaran mulai 6 September ini menerusi saluran Astro Ria dan sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

