
Pereka fesyen terkenal Malaysia, Datuk Jovian Mandagie, telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi di sini susulan kegagalannya melunaskan pinjaman berjumlah lebih RM5 juta kepada sebuah syarikat pembinaan.
Menurut laporan, perintah muflis itu difailkan oleh Cekap Air Sdn. Bhd. selepas Jovian didakwa gagal melangsaikan hutang sebanyak RM5,284,340.66 termasuk faedah, yang dipinjam pada tahun 2022.
Peguam syarikat berkenaan, Siti Nur Athirazatti Rohizad memaklumkan bahawa Jovian sebelum ini telah mengemukakan beberapa permohonan bagi menangguhkan dan membatalkan notis serta petisyen kebankrapan yang difailkan terhadapnya, namun kesemua permohonan tersebut telah ditolak oleh mahkamah.
Berdasarkan penyataan tuntutan, pinjaman tersebut didakwa diberikan secara lisan pada 25 Februari 2022 atas hubungan peribadi antara pengarah Cekap Air, Yong Zhen Wei dan Jovian, dengan jangkaan bayaran semula dibuat dalam tempoh 12 bulan.
“Tambahan pula, tiada sebab untuk plaintif meragui defendan kerana beliau ketika itu mengusahakan beberapa perniagaan lain dan merupakan menantu kepada bekas Perdana Menteri,” kata syarikat itu dalam dokumen mahkamah.
Cekap Air mendakwa kegagalan Jovian untuk membayar semula pinjaman tersebut telah mengakibatkan kerugian kewangan kepada syarikat dan memberikan kelebihan kewangan yang tidak adil kepada defendan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini telah mengeluarkan penghakiman ringkasan pada 2 April 2024 yang mengarahkan Jovian melunaskan jumlah tersebut. Namun, beliau didakwa gagal mematuhi arahan tersebut, sekaligus membawa kepada pemfailan petisyen kebankrapan.
Menurut rekod mahkamah, rayuan Jovian terhadap penghakiman itu dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 15 September ini.
Imbas kembali, Jovian pernah mendirikan rumah tangga dengan anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, iaitu Nina Sabrina Ismail Sabri pada 11 Disember 2013, namun pasangan itu telah bercerai pada Ogos 2023.
Selain bergelar seorang pereka fesyen dan ahli perniagaan. Jovian pernah bergelar pengacara televisyen yang mengemudi rancangan seperti Mahligai Cinta yang disiarkan di saluran TV3 dan juga rancangan Say Yes To The Dress Asia yang disiarkan menerusi saluran TLC.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI