Jika ditanya siapakah aktres yang sedang meningkat naik kini? Pasti nama pelakon, Janna Nick turut tersenarai.

Bukan saja hadir dengan pakej rupa cantik semata-mata, pelakon berusia 22 tahun ini juga berbakat besar dalam bidang lakonan.

Namun sama seperti selebriti lain, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner tidak terlepas daripada kontroversi yang melatari karier seninya.

Terbaru, pelakon yang bakal muncul di TV3 menerusi drama Dia, 14 Oktober ini teruk dikecam netizen gara-gara rakaman klip video 15 saat yang menyaksikan dia bersama aktor, Fattah Amin ‘bercium’ semasa penggambaran drama Coffee Prince.

Janna yang ditemui di One Utama ketika pelancaran drama 60 episod itu, baru-baru ini menjelaskan, babak berkenaan dibuat bukan bertujuan menunjukkan atau menyampaikan rasa kegersangan, rasa romantik mahupun cinta tetapi ia adalah babak komedi.

Ads

“Rakaman video itu diambil pada jarak jauh, dan ia mungkin secara tidak langsung menampakkan kami bercium. Tapi dari sudut kamera dan kami sendiri, kami sebenarnya berdiri dengan jarak lebih kurang 10 sentimeter.

 

“Dan kami tidak bercium langsung sebenarnya. Drama ini sebenarnya mengisahkan lelaki yang menyukai lelaki dan pada ketika itu, saya juga membawakan watak sebagai seorang lelaki.

Malah secara peribadi kata Janna dia sendiri tidak akan melakukan babak yang boleh merosakkan namanya.

“Tapi sebab saya tahu babak itu diwujudkan untuk apa, jadi saya lakukan dan kalau boleh tak mahu ulas panjang sebab drama ini belum pun ditayangkan TV,” jelasnya.

Isu tersebut timbul gara-gara pelakon, Fara Mendoza memuat naik video Janna dan Fattah melakonkan ‘aksi panas’ itu di Instastory Instagram miliknya, sekitar bulan lalu.

Ia sekali gus mengundang perbalahan antara pengguna media sosial yang kebanyakannya mengecam Janna serta menanggap adegan itu melampaui batas.

Ads

Tidak menyalahkan rakan baiknya yang mengundang kontroversi itu, Janna turut menolak dakwaan yang mengatakan Fara cuba menjatuhkannya.

“Ketika dia upload, kami tahu dia upload dan kami tak minta dia padamkan video tersebut. Cuma kami tak sangka jadi viral.

Mengakui tidak terkesan dengan kritikan netizen namun kata Janna. itu bukan bermakna dia tidak boleh menerima teguran tetapi sedar perkara yang dilakukan.

“Bagi saya kalau Fara nak jatuhkan saya, ada banyak lagi video yang dia boleh muat naik,” ujar Janna yang turut menegaskan dia bukan pelakon yang menyukai kontroversi dan dan situasi itu bukan berpunca daripada dirinya.

Ads

Tambah ppelakon ini lagi, dia lebih suka menumpukan kepada kerja dan enggan ‘menjual’ kontroversi.

“Apa yang penting, selagi saya menjaga etika, sikap, disiplin dalam bekerja, saya tak ambil pusing dengan kontroversi lain yang terpalit dengan saya,” katanya.

Ditanya adakah dia melihat kontroversi tersebut timbul gara-gara populariti gandingannya, Janna tidak menolak teori tersebut.

“Tidak dinafikan sebelum ini Fattah banyak dikaitkan dengan heroin atau gandingannya dan bila saya bergandingan dengan dia, saya dah bersedia.

 

“Tapi kalau sebelum ini Fattah sering dikaitkan bercinta dengan heroinnya, saya nak buktikan, sayalah orang pertama yang berlakon dengan dia tapi tak bercinta dengan Fattah,” ujarnya sambil ketawa tetapi pada masa sama mengakui senang bekerjasama dengan Bintang Paling Popular itu.

Pengalaman manis

Dalam pada itu, ditanya pengalamannya bekerja dan bergandingan dengan selebriti terkenal Indonesia, Irwansyah, Janna berkata, dia mengutip kenangan manis sepanjang penggambaran biarpun terpaksa melalui tempoh penggambaran yang panjang.

“Inilah drama terpanjang yang pernah saya terlibat. Beza hero sini dan hero Indonesia, saya rasa dari segi penggunaan bahasa. Bahasa mereka pada saya lebih sedap didengar, lebih tersusun, senang kata mereka lebih soft spoken.

 

“Irwansyah juga sangat sporting dan seperti kita tahu, dia memang rajin beribadat dan mengaji. Begitulah dia di set penggambaran.

 

“Saya bersyukur berpeluang menimba pengalaman ini walaupun agak sukar dari faktor kesinambungan watak dan karakter.

 

“Sebabnya sepanjang penggambaran, dia tak ikut episod demi episod, sebaliknya jika hari ini shooting episod pertama, esok minggu episod ke-60.

 

“Walaupun drama ini durasinya panjang, tapi saya yakin penonton tidak akan bosan kerana cerita ini banyak sub plot dan bukan berkisar mengenai hero dan heroin semata-mata,” ujarnya yang masih sibuk di lokasi penggambaran Coffee Prince arahan Michael Ang.

Teks oleh: Aqmar Mustaza

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI