
Aktor terkenal, Rosyam Nor tampil berkongsi pandangannya mengenai isu hangat di media sosial berkenaan sikap segelintir artis yang dikatakan sombong.
Menurut Rosyam, adalah tidak adil untuk terus melabel seseorang artis sebagai sombong hanya berdasarkan pandangan luaran atau situasi tertentu. Jelasnya, setiap individu mempunyai keadaan dan emosi tersendiri yang tidak diketahui umum.

“Bila kita tak kenal orang, takkanlah nak senyum memanjang. Mungkin pada ketika itu dia sedang penat atau perwatakannya memang sebegitu.
“Seperti saya, wajah saya memang nampak garang. Takkan nak kata saya sombong pula? Kita juga kena faham keadaan seseorang artis itu.
“Mungkin juga pada ketika itu, dia sedang ada masalah keluarga atau kewangan,” katanya kepada MH.
Penerima trofi Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 itu berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan gala filem Pewaris Susuk yang di Golden Screen Cinema Lalaport, pada Selasa.

Dalam masa sama, Rosyam juga percaya kebanyakan artis sebenarnya bersikap mesra, terutama apabila didekati dengan cara yang baik.

“Kalau anda pergi menegurnya, saya pasti artis itu akan okay. Kalau anda menunggu artis itu sentiasa tersengih sahaja, nanti orang kata dia ‘poyo’ pula.
“Pada saya, tiada artis yang sombong. Rata-rata mereka okay sahaja. Ada yang saya tengok dari jauh, sifat mereka baik,” katanya kepada MH.
Harapan Terhadap Karya Berkualiti
Mengulas lanjut, Rosyam menegaskan peminat memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjaya seseorang artis. Justeru, beliau sentiasa berusaha melayani peminat dengan sebaik mungkin.

“Bila peminat ajak bergambar, itu satu perkara yang bagus. Ada masanya, bila saya berjalan di luar, muka saya berkerut juga. Namun, bila ada yang ajak bergambar, saya akan santuni mereka.
“Siapalah artis jika tiada peminat. Peminat yang ambil gambar dengan kita, mereka akan kongsikan kenangan itu bersama orang terdekat atau di media sosial.
“Secara tidak langsung mereka akan menjadi rakan promosi kita. Mereka akan kongsikan momen indah itu bersama orang lain. Bila kita layan mereka dengan baik, mereka akan ingat,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Rosyam turut meluahkan keterujaan apabila masih diberi kepercayaan oleh pengarah untuk membawakan watak utama dalam filem Pewaris Susuk.

Pada usia kini, Rosyam lebih menitikberatkan pemilihan karya yang berkualiti, khususnya daripada pengarah muda.

Anda mungkin berminat dengan
“Bila kita terlibat di dalam sebuah filem, ia bukan berkenaan soal bajet sahaja. Jalan cerita itu yang memainkan peranan. Saya mencari naskhah yang ada jalan cerita, suntingan yang baik dan ada plot twist.
“Pada saat ini, saya mencari naskhah yang boleh membantu saya. Saya mahu orang nampak dan berpuas hati dengan hasil kerja saya. Itulah aspek yang saya cari ketika ini.
“Usia saya pun bukan muda lagi. Namun, alhamdulillah ada lagi pengarah yang mahu ambil saya sebagai hero dan digandingkan dengan heroin muda. Ini satu hal yang bagus untuk perjalanan kerjaya saya,” akhirinya.
Selain Rosyam, filem arahan Faizal Nadxaman ini turut dibintangi oleh Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Trisha Ooi dan Sherie Merlis.

Filem Pewaris Susuk bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 April ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

