Band popular tanah air, Kugiran Masdo menyifatkan penganjuran pelbagai acara muzik dan konsert di negara saat ini merupakan satu petanda positif buat industri muzik tempatan.
Menurut vokalisnya Ali Sariah, bagaimanapun setiap band atau artis itu harus bijak menyusun strategi atau kekerapan mereka membuat persembahan demi menjaga nilai eksklusiviti.
“Perkara ini ada pro dan kontra. Bila sudah terlalu banyak festival dan barisan artisnya pula hampir sama, kita sudah tidak jadi eksklusif.
“Malaysia ini tidak besar dan show pula banyak berlangsung di Kuala Lumpur. Kalau boleh, banyakkanlah acara-acara muzik di negeri-negeri lain pula.
“Bila selalu buat show di tempat yang sama, penonton akan boring. Kita juga jadi risau sebab asyik-asyik muka sama. Perasaan tak syok tu memang ada,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, demi memastikan para peminat mendapatkan pengalaman muzik yang berbaloi, mereka kini lebih memilih untuk membuat persembahan di acara berbayar berbanding konsert percuma.
“Ketika ini, kami sudah kurang membuat persembahan di acara muzik yang masuk percuma. Orang akan lebih memilih untuk tengok yang percuma daripada show berbayar.
“Untuk lihat kami perform, kena bayar.
Kalau dahulu, mungkin kami sapu semua tapi kini kami lebih menjaga eksklusiviti agar mereka yang membayar itu rasa berbaloi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, gitaris Kugiran Masdo, Asmawi pula menjelaskan mereka juga sedar dengan komen-komen peminat yang mahu mereka tampil berbeza di setiap acara muzik.
Bagaimanapun, mereka juga tidak mahu menghampakan perasaan para peminat yang mahu melihat mereka memainkan lagu-lagu popular.
“Bukan peminat sahaja komen, kami pun dah komen diri sendiri. Namun, kami tak boleh nak buat apa sebab scene kita berbeza dengan Indonesia.
“Di sana, ada band yang tak perlu pun mainkan lagu-lagu daripada album lama. Mereka boleh sahaja mainkan lagu daripada album baharu dan peminat akan tetap enjoy.
“Kalau di Malaysia, kita belum ke arah itu. Kalau kami tak bawa lagu Dinda, apa pula kata peminat nanti? Lagu-lagu wajib ini kena mainkan juga tapi kita ubah dari segi arrangement,” akhirinya.
Terdahulu, Kugiran Masdo merupakan antara band yang akan membuat persembahan di acara One Love Music Festival yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember ini Dewan A, MAEPS, Serdang.
Selain Kugiran Masdo, antara barisan artis yang akan membuat persembahan adalah seperti Hujan, Bunkface, Insomniac, Gerhana Ska Cinta, Drama Band dan 53 Universe.
Malah, acara muzik besar-besaran ini juga bakal menampilkan persembahan daripada penyanyi-penyanyi popular Indonesia seperti Feby Putri, Nadin Amizah, Nabila Taqiyyah dan Salma Salsabil.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI