Meskipun masih berduka dengan pemergian isteri tercinta, Norlela Mohd Yusof pada Jumaat, pemain gitar kumpulan Wings, Eddie mendedahkan dirinya sendiri yang membuat keputusan untuk meneruskan persembahan bersama Wings di festival muzik, Nusafest malam tadi.

Menurut Eddie atau nama sebenarnya, Samsaidi Ulong Idris, sokongan yang ditunjukkan oleh anggota kumpulannya membuatkan dia lebih bersemangat untuk turut serta pada persembahan kali ini.

“Ini Tanggungjawab…,” – Tetap Buat Persembahan Bersama Wings, Eddie Sebak Kenang Arwah Isteri

“Ini merupakan tanggungjawab sebagai seorang pemuzik. Saya bermain muzik dengan Wings sudah lama. Apa-apa masalah yang berlaku di luar, kita tidak akan campurkan dengan kerja.

“Kami satu kumpulan sudah pun memberikan komitmen. Saya melihat kawan-kawan menunjukkan sokongan daripada urusan isteri saya di hospital sehinggalah dikebumikan.

“Merekalah yang ada bersama saya. Itu yang membuatkan saya lebih kuat. Saya reda dengan ketentuan Allah dan bersedia dengan apa yang berlaku.

“Jadi, saya cuba meneruskan persembahan pada malam ini dan alhamdulillah saya dapat fokus. Ketika Datuk Awie sebut fasal arwah di atas pentas, saya tak boleh tahan sebak,” katanya kepada MH.

Eddie berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai hari pertama Nusafest yang berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Sabtu.

IKLAN

Dalam pada itu, Eddie turut memuji semangat anaknya yang juga merupakan penyanyi, Bila kerana mahu meneruskan tanggungjawabnya sebagai penyanyi latar yang mengiringi Wings malam tadi.

“Ini Tanggungjawab…,” – Tetap Buat Persembahan Bersama Wings, Eddie Sebak Kenang Arwah Isteri

“Bila memang hanya mengikut keputusan saya. Dia kata, kalau daddy buat persembahan, dia akan ikut. Kalau daddy tak boleh tahan, dia juga akan tarik diri.

“Bila juga sangat menyokong dan menjadi tulang belakang saya sekarang ini. Arwah isteri tahu mengenai komitmen kami di Nusafest ini. Saya dan Bila bergilir-gilir menjaga isteri di hospital.

IKLAN

“Pada waktu tengah hari, saya akan menjaga dia dan sebelah petang pula Bila akan ganti. Kemudian, pada sebelah malam, Bila akan ikut serta latihan. Itulah rutin kami selama dua minggu ketika arwah isteri saya di hospital,” ujarnya lagi.

Semantara itu, vokalis Wings yang juga merupakan pelakon, Datuk Awie memaklumkan dia dan anggota lain masih lagi bersedih sehingga menyukarkan mereka untuk memberikan persembahan terbaik seperti kebiasaannya.

“Ini Tanggungjawab…,” – Tetap Buat Persembahan Bersama Wings, Eddie Sebak Kenang Arwah Isteri

“Kami sudah bertanya kepada Eddie. Kalau tak bersedia, tak mengapa dan kita akan cari pengganti. Namun, semangat yang ditunjukkan Eddie membolehkan dia menjalankan tanggungjawab sebagai penghibur.

IKLAN

“Malam ini, energi kami hanya 50 peratus. Kami masih dalam keadaan bersedih. Kami tak mampu nak terlalu bersemangat seperti sebelum ini. Dapat selesaikan kerja malam ini pun satu kepuasan bagi kami.

“Kami bersyukur arwah pergi pada hari yang sangat baik. Penghulu segala hari. Marilah sama-sama kita doakan semoga arwah diampunkan dosa dan ditempatkan di sisi kekasih Allah,” katanya.

Sekadar informasi, Norlela telah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 2.30 petang Jumaat akibat komplikasi buah pinggang.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang pada malam Jumaat.

Terdahulu, Wings telah diamanahkan untuk membuat persembahan penutup pada hari pertama Nusafest.

Selain Wings, antara band yang turut sama membuat persembahan adalah Search, Kelompok Penerbang Roket, Efek Rumah Kaca dan Iqbal M.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI