
Peminat muzik tanah air bakal menyaksikan kolaborasi istimewa antara penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa bersama dua nama besar industri muzik Malaysia, MK K-Clique dan Ernie Zakri menerusi konsert mega “Here I Am” yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.
Penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta itu menyifatkan keterlibatan MK dan Ernie dalam konsert ini sebagai satu pengalaman baharu yang sangat dinantikannya.
“Kesediaan MK K-Clique dan Ernie Zakri untuk turut serta dalam konsert ini pastinya akan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada peminat.
“Saya belum pernah berkolaborasi dengan mereka, jadi saya sangat menantikan momen istimewa ini.
“Ini membuktikan muzik tidak mengenal sempadan dan saya yakin ada beberapa kejutan lain yang akan membuatkan konsert ini lebih bermakna,” katanya.
Selain MK dan Ernie, konsert ini turut menampilkan bintang popular Indonesia, Ariel Noah.
‘Here I Am’ Dedikasi Buat Peminat
Konsert “Here I Am” dianjurkan bersempena meraikan 29 tahun perjalanan seni Rossa, sebagai kesinambungan kepada kejayaan siri konsert terdahulu seperti Rossa 25 Shining Years (2022) dan Another Journey: The Beginning (2023) yang berjaya menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.
Menurut Rossa, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi satu bentuk penghargaan kepada para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal kerjayanya.
“Saya mahu mengajak peminat yang menikmati lagu-lagu saya untuk menerima diri mereka tanpa rasa rendah diri, menghargai serta mencintai diri sendiri.
“Ia adalah refleksi perjalanan saya sebagai seorang penyanyi yang bermula daripada lagu-lagu hits, album, pencapaian, hingga konsert-konsert yang pernah saya jayakan,” ujarnya lagi.
Konsert Hiburan, Misi Kebajikan
Dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment, konsert ini turut membawa misi kebajikan di samping nilai hiburan yang disajikan.
Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali menyifatkan Rossa sebagai figura seni yang komited terhadap usaha kemasyarakatan.
“Sejak 2012, kami telah bekerjasama dalam menganjurkan konsert yang bukan sekadar untuk komersial.
Kali ini, PRIHATIN juga mengalu-alukan pihak korporat dan individu untuk menyumbang menerusi pembelian tiket kategori Royale, First Class, dan Executive, demi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Tiket konsert boleh dibeli secara dalam talian melalui www.ticket2u.com dan selain di Kuala Lumpur, konsert “Here I Am” turut dijadualkan berlangsung di Indonesia Arena, Jakarta pada 23 Mei serta di Singapura pada penghujung tahun ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI